Kenapa takut dengan slogan 'Sabah Ubah'? - Shafie Apdal

Kenapa takut dengan slogan 'Sabah Ubah'? - Shafie Apdal
Mohd Shafie (empat, kanan) bersama calon-calon Warisan hadir bagi Proses Penamaan Calon PRU14 di Dewan Masyarakat Semporna pada Sabtu. - BERNAMA
SEMPORNA: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyifatkan tindakan segelintir pihak terutamanya Barisan Nasional (BN) yang memperlekehkan slogan partinya 'Sabah Ubah' sebagai takut kepada bayang-bayang sendiri.

Beliau berkata, sejak zaman UMNO menjatuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada zaman 90-an dahulu, slogan 'Ubah' juga diguna pakai oleh jentera politik ketika itu dan ianya tidak ada bezanya dengan perjuangan partinya sekarang.

"Musim PBS memerintah, mereka mahu laungkan mahu ubah kerajaan takut pula, waktu itu kita ubah kerajaan PBS kepada UMNO dan hari ini, apa pula masalah dia kita ubah UMNO kepada Warisan?

"Kalau kita mampu mengubah kerajaan PBS kepada UMNO, kenapa pula kita tidak mampu ubah kerajaan UMNO, parti daripada Kuala Lumpur, dengan parti yang dilahirkan di Sabah?" katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika berkempen di PDM Hampalan, Pulau Bum Bum, Semporna, hari ini, bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Turut bersama, calon Warisan serta penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong.

Mengulas lanjut mengenai perjalanan kempennya di pulau berkenaan, Mohd Shafie yang juga calon dan penyandang kerusi Parlimen Semporna itu berkata, momentum pihaknya kini berada di tahap tertinggi dengan adanya sokongan daripada semua rakyat termasuk penduduk di Pulau Bum Bum.

"Saya buat kunjungan dari kawasan ke kawasan daripada semalam. Alhamdulillah, sambutan rakyat amat menggalakan dan mereka menyatakan tentang bukan hanya sokongan serta jaminan untuk memberi undi kepada Parti Warisan di Sabah.

"Saya yakin ianya menjadi kenyataan walau apa juga cabaran yang kita hadapi kerana kemudahan amat terbatas, berbanding BN mereka banyak duit, banyak motosikal, banyak beras, banyak gula... kita tidak ada gula untuk kita taburkan, kita tidak ada motosikal mahu bagi kepada rakyat tetapi rakyat boleh menilai," tambahnya.

Sementara itu, Jaujan yang juga Naib Presiden Warisanberkata, beliau yakin untuk mempertahankan kerusi DUN Sulabayan yang dimenanginya atas tiket UMNO pada PRU13 dahulu.

"Mengikut data terkini, ada lebih 14,000 pengundi dan Insya-Allah, saya yakin rakyat Malaysia di DUN Sulabayan akan bersama Parti Warisan," katanya.