Ahli-ahli UMNO yang sayangkan ulama perlu mencalonkan golongan tersebut menjadi presiden parti mereka, kata Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful berkata demikian ketika mengulas sikap beberapa ahli dan pemimpin UMNO yang sering mengeluarkan kenyataan membidas perkembangan dalam PAS yang didakwa meminggirkan ulama.

"Kalau mereka (ahli UMNO) betul sayang dan mahu kepimpinan ulama, mereka sepatutnya menjadi ahli PAS bukan sertai UMNO.

"Dan jika ahli UMNO mahu mempertahankan kepimpinan ulama, sepatutnya mereka menuntut supaya jawatan utama seperti presiden UMNO diisi oleh ulama," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Perkara yang sama pernah dibangkitkan oleh Mohamad Sabu sebaik dipilih menjawat jawatan Timbalan Presiden pada muktamar PAS tahun 2011.

Mohamad ketika ucapan penggulungannya menegaskan PAS tidak pernah meminggirkan kepimpinan ulama sebaliknya memperkasakan peranan golongan agamawan.

Katanya PAS mewujudkan sayap parti yang dinamakan Dewan Ulama untuk memberikan mereka ruang yang seluas-luasnya memainkan peranan dalam parti.

Selain Dewan Ulama, Mohamad berkata, PAS juga memperkasakan peranan ulama dalam parti mereka dengan menubuhkan Majlis Syura Ulama yang merupakan badan kedua tertingi dalam parti itu selepas muktamar.