Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kenyataan Abd Latiff tidak mencerminkan pendirian Bersatu - Ismail Sabri

Kenyataan Abd Latiff tidak mencerminkan pendirian Bersatu - Ismail Sabri
Ismail Sabri berkata UMNO Sabah tidak pernah lemah, malah semakin kuat dan ini dibuktikan menerusi kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis pada awal tahun ini. -Bernama
KOTA KINABALU: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad bahawa UMNO Sabah tidak lagi laku berupa kenyataan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata pemimpin Bersatu khususnya di Sabah juga dilihat tidak pernah memperkecilkan mahupun memburukkan UMNO di negeri itu.
"Kenyataan itu hanya dibuat salah seorang daripada pemimpin Bersatu, kenyataan itu bukan datang daripada Bersatu.

"Di Sabah pun kita tidak dengar pemimpin Bersatu Sabah memperkecilkan kita (UMNO) atau menyahut kenyataan Datuk Latiff itu," katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat. 
Ismail Sabri berkata, kenyataan Abd Latiff itu tidak akan menjejaskan kerjasama antara UMNO dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, media melaporkan Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing daripada Bersatu mengeluarkan kenyataan dilihat memperkecilkan UMNO Sabah dalam sebuah forum terbuka dan video tersebut tular di media sosial.

Bagaimanapun, Abd Latiff telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan menyifatkan kenyataan beliau mengenai UMNO Sabah disalah tafsir oleh pihak tertentu.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata UMNO Sabah tidak pernah lemah malah semakin kuat dan ini dibuktikan menerusi kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis pada awal tahun ini.

Sehubungan itu, beliau mahu UMNO Sabah menjadikan sindiran Abd Latiff itu sebagai satu cabaran untuk bekerja lebih kuat, sekali gus memenangi semua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau tidak menyimpan perasaan marah, namun kecewa kerana kenyataan berkenaan keluar daripada pemimpin Bersatu yang bertaraf menteri.

"UMNO Sabah melihat bahawa kenyataan itu tidak seharusnya berlaku kalau kita menghormati rakan dalam kerajaan PN," katanya.

-- BERNAMA