Kenyataan kontroversi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai DAP tidak menjejaskan peluang Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November nanti.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, beliau yakin isu berkenaan dapat diatasi secara berhemah.

“Itu biasa berlaku dari masa ke semasa… bukan dasar dia. Kadang-kadang kita sembang berdua pun sekarang ni orang ambil (rakam) dah boleh viral.

“Jadi kita boleh selesaikan masalah itu. Tidak, tidak ada (jejaskan)… insya-Allah,” kata beliau yang juga Menteri Pertahanan selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Amanah Terengganu kali keempat di Kuala Terengganu, pada Sabtu.

Video Menteri Besar Perak yang mendakwa beliau berseorangan dalam melawan puak-puak DAP demi mempertahankan tanah Melayu dan agama Islam, tular di media sosial.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal kemudian mendakwa kenyataannya itu diambil di luar konteks.