Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan melampau terhadap calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka, Nik Mohamad Omar Nik Abdul Aziz sebagai satu tindakan yang keterlaluan.

Tuan Ibrahim yang bertanding kerusi parlimen Kubang Kerian menegaskan dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia, seseorang itu bebas untuk memilih mana-mana parti yang diingini.

Beliau juga menegaskan Pas tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana individu yang bukan pemimpin utama parti.

"Di dalam isu Nik Omar, bagi PAS, kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Abduh mewakili pihak keluarga beliau, dan tidak perlu ada kenyataan lain.

"Tindakan beliau bertanding atas tiket Pakatan Harapan adalah urusan dan pilihan beliau sendiri yang tidak perlu diperbesarkan.

"PAS ingin tegaskan hanya kenyataan pimpinan utama sahaja adalah kenyataan rasmi parti. Manakala kenyataan lain, PAS tidak bertanggungjawab.

"PAS menganggap sebarang kenyataan melampau yang menyerang beliau adalah tindakan yang keterlaluan," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya.

Pada Isnin, adik Nik Mohamad Omar, Nik Muhamad Abduh mengeluarkan kenyataan yang dianggap banyak pihak sebagai keterlaluan kerana penggunaan bahasa yang dianggap tidak wajar.

BACA: Hadi Awang samakan anak pemimpin Pas keluar parti seperti anak Nabi Nuh

BACA: 'Tembakan itu singgah tepat ke jantung bonda', kata Nik Abduh kepada kekandanya

BACA: 'Ibu mana sanggup tengok dua beradik bertelagah' - Pengurus kempen Nik Omar


Sementara itu, dalam kenyataan yang sama Tuan Ibrahim turut menyeru ahli dan penyokong Pas agar memberi fokus kepada usaha gerak kerja meningkatkan sokongan kepada parti pada 9hb Mei nanti.

Katanya, Pas berharap agar rakyat berhati-hati dengan permainan saraf dan berita palsu yang sengaja disebarkan untuk mencuri undi mereka berdasarkan matlumat dan berita palsu.

"Dalam situasi media sosial yang terbuka, permainan saraf akan terus menyubur dan digunakan secara dahsyat untuk mencipta fitnah menipu rakyat untuk menolak musuh politik.

Contohnya, tidak mustahil ada musuh yang menyamar penyokong PAS lalu mengeluarkan kenyataan melampau dengan sengaja, tapi sebenarnya bukan dari ahli PAS," katanya lagi.