Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan Rang Undang-Undang 355 pada sidang Parlimen kali ini.

Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak komited untuk menterjemahkan hasrat berkenaan tanpa menggugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini.

“InsyaAllah Rang Undang-Undang 355.. akan dibentangkan di dalam sidang Parlimen pada kali ini yang dibawa sendiri oleh kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Berkelompok Persidangan UMNO cawangan peringkat negeri Terengganu dan penyampaian hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, perkembangan itu sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan pihak lain.

RUU 355, antara lain, bertujuan meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 senarai negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2a, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, di mana mahkamah syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.