Wanita Muda (Warda) Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa kerajaan agar menangani isu lambakan graduan.

Selain itu, wakil Warda di Konvensyen Nasional Amanah 2019, Fatihah Salahuddon juga mahu kerajaan memandang serius isu kekurangan tenaga kerja profesional dalam kerjaya tertentu di negara ketika ini.

Ahli Jawatankuasa Nasional Warda Pusat itu berkata masalah kekurangan doktor masih dihadapi biarpun negara mengalami lambakan antara 5,000 hingga 6,000 setahun graduan perubatan.

“Bagaimanakah kita mahu menangani masalah ini? Kita bukan tidak ada anak muda, termasuk wanita muda yang berkelayakan dalam bidang profesional.

“Kementerian Kesihatan yang diterajui pimpinan Amanah diharap dapat menangani isu ini,” katanya.

Fatihah turut menekankan masalah yang dihadapi golongan muda yang dibebani masalah hutang pendidikan dan tidak mempunyai kerjaya yang seimbang.

“Bagaimana wanita muda ingin membabitkan diri dalam politik sekiranya dibebani hutang pendidikan dan tidak mempunyai kerjaya yang seimbang.

“Ini menjadi titik tolak kepada pembabitan wanita muda dalam Amanah sebagai satu-satunya parti yang mempunyai platform Warda,” katanya.