Kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu yang kini menerajui negeri Kedah dijangka bertukar selewat-lewatnya minggu ini.

Perkembangan itu dijangka berlaku susulan pembentukan Kabinet baharu di peringkat Persekutuan selain masalah dalaman yang dihadapi gabungan terbabit ketika ini.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, perubahan itu juga bakal membuka dimensi baharu kepada pemerintahan kerajaan Kedah yang dilihat selari dan memihak kepada kerajaan Persekutuan khususnya dalam membawa suara rakyat negeri itu ke peringkat lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketika ini PAS Kedah masih belum melakukan sebarang usaha untuk memujuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilihat cenderung serta memihak kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) negeri itu.

Tegas Sanusi, pihaknya sentiasa memberikan peluang dan menyerahkan sebarang keputusan akhir yang bakal dibuat kepada ADUN-ADUN terbabit.

"Kita faham itu bergantung kepada mereka sendiri, mereka yang berhak untuk membuat keputusan.

"Saya ingat dalam minggu ini (berlaku perubahan dalam kerajaan Kedah)," kata Muhammad Sanusi.

Sementara itu, beliau berkata, keputusan untuk memilih Menteri Besar adalah di tangan PAS Pusat jika parti terbabit dipilih untuk mengetuai pentadbiran negeri Jelapang Padi itu.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pembangkang Negeri berkata, kesemua 15 ADUN dari Pas mempunyai kelayakan yang cukup untuk dilantik menjadi Menteri Besar (MB) dan kesemua mereka sentiasa bersedia jika dipilih bagi mengisi jawatan itu.

"Saya serahkan sepenuhnya kepada Pas pusat untuk tentukan (kedudukan MB kedah), hak tentukan siapa jadi itu hak parti, kita buat kerja macam biasa saja.

"Saya tak pernah tengok senarai (calon MB) lagi, saya Ahli Jawatankuasa Harian Pas Pusat, tiada pun senarai, bila sampai masa saya yakin ada," kata beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Lawatan ADUN Pas Kedah di Jeti Nelayan Kota Kuala Muda, pada Rabu.

Sebelum in, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui, nasib anaknya yang juga MB Kedah, Datuk Seri Mukhriz kini diibaratkan seperti telur di hujung tanduk selepas terbentuknya PN yang meruntuhkan kerajaan PH baru-baru ini.

Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian menegaskan, 15 ADUN daripada Pas boleh bertindak mengikut Pas Pusat selari dengan pembentukan gabungan baharu di peringkat Persekutuan.