PAS yakin akan mempertahankan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang sekiranya parti itu berjaya menjalinkan persefahaman dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Justeru Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari menggesa kepimpinan parti supaya belajar daripada sejarah era 1970-an.

"Dalam sejarah politik Kelantan, mana-mana parti yang dapat bekerjasama dengan pecahan parti lawan akan menang pilihan raya. Ini berlaku pada 1978 di mana Umno berjaya muafakat dengan parti serpihan PAS pada ketika itu, iaitu Berjasa, dan ia menyebabkan kejatuhan PAS di Kelantan."

Kata Ahmad Fadhli, senario politik yang sama berulang pada 1990 dan 1999.

"Pada 1990, PAS berjaya menjalin persefahaman dengan Parti Melayu Semangat 46 yang pada masa itu merupakan pecahan Umno. Akhirnya, PAS dengan Angkatan Perpaduan Ummah berjaya membentuk kerajaan di Kelantan."


"Begitu juga dengan 1999, perpecahan berlaku sekali lagi di kalangan Umno dan seterusnya terbentuk Parti Keadilan dan PAS menjalinkan kesefahaman dan pertahankan Kelantan," kata Fadhli kepada buletin Hari Ini 8.

Tambahnya, dia yakin persefahaman antara PAS dan PPBM akan menjamin kekalahan pihak lawan pada PRU-14.

"Di PRU-14, sekiranya PAS berjaya jalin persefahaman dengan PPBM yang merupakan pecahan UMNO, saya percaya PAS akan mempertahankan kerajaan di Kelantan."

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Umno Pasir Mas Mohd Ridzuan Ibrahim berkata parti pemerintah sudah berpengalaman menempuh senario politik yang melibatkan persefahaman antara parti pembangkang dan parti pecahan.

"Umno di Barisan Nasional cukup berpengalaman dengan perpecahan pakatan dari Angkatan Perpaduan Ummah dan barisan alternatif lain seperti Pakatan Rakyat dan terbaru, Pakatan Harapan. Insyallah, Umno BN akan menang," katanya di Hari Ini 8.