SARANAN Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak agar Pas bersama parti itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan dan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini menarik perhatian bukan sahaja media perdana dan media sosial malah menjadi perbualan hangat di kalangan aktivis politik bukan Melayu.

Ahli-ahli UMNO secara amnya dijangka merasa senang hati terhadap sikap Najib kerana berjiwa besar bukan sahaja kerana menghulur tangan perdamaian kepada pihak-pihak yang mengkritiknya tetapi turut mengajak Pas bersama UMNO demi perpaduan ummah dalam membina negara ini mengikut syariat Islam yang sebenarnya.

Persoalannya, bagaimanakah reaksi bukan Islam atau bukan Melayu secara amnya dan parti-parti politik komponan Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada warga bukan Islam di Semenanjung serta di Sarawak dan Sabah terhadap seruan Najib berkenaan?

Sesungguhnya, apabila UMNO mengundang Pas bersama mereka, ia merupakan langkah yang bijak kerana bukan sahaja mendatangkan perpaduan di kalangan umat Islam di negara ini yang merentasi garis ideologi politik malah menjamin kestabilan politik negara.

Dari segi politik kepartian pula, UMNO sekali gus BN akan dapat mengukuhkan kekuatan mereka dalam menghadapi serangan daripada pembangkang khususnya DAP.

Pas yang berjiwa besar untuk memartabatkan Islam dalam pentadbiran negara dijangka memberi manfaat daripada langkah bekerjasama dengan UMNO kerana UMNO juga didapati bersungguh-sungguh malah bertekad untuk memperkenalkan institusi-institusi Islam dalam melaksanakan syariat Islam seperti yang dihasratkan oleh Pas.

Institusi-institusi Islam yang diperkenalkan kerajaan BN bertunjangkan UMNO khususnya dalam sektor kewangan mendapat sanjungan dan pengiktirafan dunia.

Malah Pas juga dilihat dapat menghadapi tentangan yang dijangka daripada DAP dan parti serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Namun, langkah UMNO bekerjasama dengan Pas perlu diteliti agar tidak menimbulkan perasaan syak wasangka atau tidak senang hati di kalangan warga bukan Islam secara amnya dan di Negeri Sarawak serta Sabah secara khususnya.

Ia dilihat berkemungkinan akibat kurang faham terhadap niat murni dan strategik UMNO dalam menghulur tangan kepada Pas sendiri.

Kerajaan Negeri Sarawak, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem didapati mendapat sokongan hebat daripada pelbagai kaum kerana pentadbirannya memajukan konsep 'multi-cultural' dan 'multi-religious' dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dengan itu, apakah pihak pembangkang khususnya DAP yang tertekan untuk menghadapi gelombang sokongan hebat rakyat pelbagai kaum dan agama kepada BN akan menggunakan langkah UMNO ini sebagai alasan untuk menimbulkan persepsi di kalangan pengundi bukan Islam di Sarawak dan Sabah kononnya negeri mereka akan menghadapi risiko syariat Islam diperkenalkan?

Pada hemat saya, parti-parti komponan BN perlu bertindak bijak dalam mencari jalan untuk meluaskan platform sokongan di kalangan pengundi Melayu dan Islam dalam menjamin kemenangan calon-calon parti mereka sekaligus BN di masa-masa akan datang.

Ia memandangkan parti-parti yang mewakili bukan Melayu di Semenanjung seperti MIC yang belum selesai malah belum keluar daripada kemelut kepimpinan dalaman parti dan MCA yang masih menghadapi tekanan serta tentangan hebat daripada DAP dalam mempengaruhi pemikiran politik kaum Cina akhir-akhir ini.

Sekiranya kita mengimbas kembali fakta-fakta sejarah politik tahun 70’an, Pas dan beberapa parti pembangkang ketika itu seperti Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP) yang merupakan parti pembangkang disaran bergabung dengan Perikatan (UMNO, MIC dan MCA) dalam membentuk parti campuran BN.

BN yang diasaskan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak, bukan sahaja untuk menghadapi pilihan raya pada 1974 tetapi untuk menyelamat negara yang bergelora dengan sentimen perkauman yang ditimbulkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab atas kepentingan politik berkauman.

Menyedari hakikat bahawa pelupusan kuasa politik dari tangan kaum Melayu akan mengundang bukan sahaja bencana kepada keamanan negara malah akan mencetuskan ketidakstabilan politik yang mampu menjejas agenda pembangunan negara, maka penubuhan BN dilihat menolak politik yang berorientasikan 'politicking' dan memilih politik yang lebih mengutamakan perpaduan serta pembangunan negara.

Pas pada waktu itu di bawah kepimpinan Mohd. Asri Muda dan Gerakan dibawah pimpinan Lim Chong Eu bersikap besar hati menyertai gabungan BN demi kepentingan perpaduan dan kestabilan politik negara.

Namun Pas disingkir daripada gabungan BN pada tahun 1977 atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Kehilangan Pas daripada BN didapati bukan sahaja merugikan BN malah mengguntungkan pembangkang.

BN kehilangan Kelantan pada 1990, Terengganu pada tahun 1999 seterusnya Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor jatuh kepada tangan pembangkang pada tahun 2008.

Persoalannya kini, apakah Pas sanggup bekerjasama dengan DAP, sebuah parti yang terus terang menentang mereka memperkenalkan institusi, sistem dan nilai-nilai Islam dalam negara?

Atau Pas kini masih keberatan untuk bekerjasama dengan UMNO, satu-satunya parti yang bersungguh-sungguh dalam memartabatkan malah menobatkan syariat Islam di negara ini tanpa menjejas amalan budaya dan agama bukan Islam?

Justeru itu, adalah bijak bagi kepimpinan parti-parti komponan BN memahami niat baik dan langkah UMNO berbaik-baik dengan Pas.

Malah semua wajar bersikap terbuka dan mengelak mencetuskan polemik terhadap kerjasama UMNO-Pas demi kepentingan bersama UMNO dan BN.

Apakah Pas yang menyertai BN pada pertama kalinya di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak kini akan kembali bersama BN semasa kepimpinan anakandanya, Najib demi kepentingan ummah, negara dan kestabilan politik.

Sejarah itu pasti berulang!



M. Periasamy merupakan penganalisis politik MIC dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.