Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi cuba menipu rakyat dengan mendakwa berjumpa ‘orang Tun Dr. Mahathir Mohamad' untuk membincangkan isu kerjasama politik.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, Ahmad Zahid juga perlu menzahirkan secara terbuka siapa ‘orang Perdana Menteri' yang didakwa berjumpa dengannya itu.

Menurut Khairuddin, tidak wajar untuk sesiapapun berurusan dengan pemimpin yang didakwanya tidak relevan.

Tambahnya, jika masih ada yang mahu berurusan dengan pemimpin dari sayap pembangkang ianya hanya akan mengundang masalah pada Pakatan Harapan (PH).

BACA: Azmin sokong Tun M pimpin negara hingga akhir penggal

BACA:
UMNO, Pas masih bincangkan nama gabungan - Zahid

Ahmad Zahid di dalam sebuah portal sebelum ini mendedahkan telah menetapkan tiga syarat yang merupakan pendirian parti itu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya ingin menjalinkan kerjasama politik.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perkara tersebut dinyatakan kepada ‘orang’ Dr Mahathir yang datang berjumpa dengannya baru-baru ini.

Syarat itu adalah UMNO sama sekali tidak mahu DAP menjadi rakan kongsi (bekerjasama); kedua, membawa Pas bersama-sama (kerjasama politik) dan ketiga, tidak membubarkan UMNO.

“Kenyataan Ahmad Zahid itu semata-mata hendak memperdayakan keseluruhan rakyat seolah-olah Dr Mahathir mengiktirafnya (Ahmad Zahid) sebagai Presiden UMNO dan minat untuk berunding melaluinya.

“Situasi ini juga bakal menunjukkan seolah-olah Ahmad Zahid masih relevan dalam landskap politik negara,” ujarnya.

Kata Khairuddin lagi, mana-mana pihak dinasihatkan jangan mudah percaya dan terus menghindari untuk berurusan dengan orang seperti Ahmad Zahid.

“Dia bukan ada integriti tetapi hanya mahu meraih ‘mileage’ politik semata-mata demi kepentingan agenda politik peribadi sahaja.

“Jauhilah, reputasi PH juga boleh jatuh sekiranya kita kelihatan masih mengiktirafnya sebagai pemimpin.

Tegas Khairuddin lagi, Ahmad Zahid dinasihatkan untuk membersihkan namanya dahulu di kamar mahkamah kerana itu perkara terpenting yang rakyat hendak lihat pada hakikatnya.