Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memilih untuk bekerjasama dengan DAP bagi memenangi pilihan raya umum akan datang kerana berpendapat parti itu telah menyatakan pendirian untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, pendirian itu jelas bertentangan dengan persepsi yang pernah dilontarkan banyak pihak berkaitan kerjasama kedua-dua parti itu.

“(Adakah)DAP ini jahat sungguh? Sedangkan DAP, Amanah, PKR ketiga-tiga parti ini telah menyatakan pendirian mereka iaitu DAP dan rakan-rakan mereka akan patuh kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka menerima kedudukan Raja-Raja. Menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Mereka menerima kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Beliau menambah, kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan DAP juga menjadi antara sebab utama presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali enggan menyertai PPBM.