Kerusi Parlimen Cameron Highlands perlu ditandingi parti MIC pada Pilihan Raya Umum ke-14, ujar Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran.

Beliau yang juga Penyelaras Parlimen Cameron Highlands berkata, ia berikutan kerusi berkenaan adalah kerusi tradisi parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

"Pada 2008, ia ditandingi Datuk Devamany, dan 2013 ditandingi bekas Presiden MIC. Jadi secara tradisinya kerusi ini adalah milik MIC.

"Sejak parlimen ini ditubuhkan, ia adalah kerusi MIC dan saya tidak melihat ia perlu diserahkan kepada sesiapa kerana kita telah menang kerusi ini," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.

Beliau bagaimanapun yakin pucuk pimpinan parti akan membuat pilihan yang tepat.

"Saya berpegang apa yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak cakap sebelum ini bahawa kerusi-kerusi tradisi MIC akan dikekalkan untuk MIC. Jadi, saya rasa persoalan kerusi ini akan diambil oleh orang lain tidak timbul," tegas beliau.

Sivarraajh dalam pada itu menawarkan diri untuk bertanding kerusi Cameron Highlands berkenaan.

"Saya sudah enam ke tujuh bulan bekerja di sini, dan bekerjasama dengan semua komponen parti. Kalau diberi peluang saya akan hadiahkan kerusi ini kepada Perdana Menteri dengan majoriti yang baik," ujarnya.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sebelum ini mengesahkan kerusi Parlimen Cameron Highlands masih kekal milik parti itu.

Malah, tegasnya, dakwaan Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Tan Sri M. Kayveas bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan dikembalikan kepada parti itu adalah tidak benar sama sekali.