Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bersetuju menyelesaikan kes saman mereka di luar mahkamah.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, isu itu diselesaikan selepas kedua-dua pihak mengambil kira kepentingan masyarakat terutamanya dengan latar belakang kemelut politik negara.

"Abdul Khalid menarik balik saman dan Saifuddin serta KEADILAN memohon maaf kepada Khalid.

"Abdul Khalid juga memohon maaf kepada Saifuddin dan KEADILAN.

"Persetujuan ini dimeterai dan difailkan di mahkamah seperti di dalam dokumen mahkamah yang disertakan bersama," kata Rafizi pada catatan di laman Facebook PKR hari ini.

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Ogos tahun lalu berhubung pengedaran dokumen laporan Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor, bertarikh 4 Ogos 2014 yang didakwa memfitnahnya.

Dokumen itu didakwa dikeluarkan sebagai salah satu usaha PKR untuk menjatuhkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu yang mengaitkannya dengan penyelesaian hutang Bank Islam.

Bagaimanapun, pada 21 September 2014 lalu, Abdul Khalid disingkirkan daripada jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor.