Selepas direhatkan selama sepenggal lantaran tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin membuat penampilan semula setelah dicalonkan mewakili BN pada PRU14.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah dari tahun 2008 hingga 2013 itu dicalonkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sama mengantikan Abdullah Fauzi Ahmad Razali yang digugurkan.

Menurut Wan Norashikin, pemilihan beliau sebagai calon BN pada PRU14 adalah hasil daripada kesetiaan yang ditunjukkannya kepada parti selama ini walaupun tak terpilih pada PRU13.

“Sebagai seorang orang parti UMNO dan BN, terpilih atau tidak itu kita mesti akur, pada PRU13 saya tidak teprilih namun ianya bukan masalah dan saya teruskan juga perjuangna demi parti.

“Ini yang perlu diterapkan oleh semua, walaupun kecewa bagaimana sekali pun, jangan sesekali membelakangkan parti, ini adalah perjuangna demi rakyat bukan individu,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Selasa.

Wan Norashikin merupakan salah seorang daripada 13 calon wanita yang ditampilkan oleh BN Perak pada PRU14.

Pada PRU13, Abdullah Fauzi telah mengalahkan calon PAS, Ishak Saari dengan majoriti 6,100 undi.

Wan Norashikin pada PRU12 pula, menang melawan Mustafa Shaari dari PAS dengan mendapat 8,818 undi (1,416 majoriti).

Perak mungkin merupakan negeri yang paling ramai menampilkan wanita sebagai calonnya apabila memperuntukkan 13 kerusi Parlimen dan DUN kepada golongan itu.

Pencalonan ini selari dengan manifesto PRU14 BN Perak yang memperuntukkan 30 peratus tempat bagi kaum wanita.

Daripada 13 calon itu, tujuh daripadanya adalah muka baharu, seorang dicalonkan semula dan lima calon mempertahankan kerusi masing-masing.