Ketua Penerangan PKR Sarawak Vernon Kedit pada Khamis membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada wujud penyelewengan berhubung status keanggotaan PKR Cabang Julau.

Kedit tiba di Pejabat SPRM Sarawak di Jalan Laksamana Cheng Ho di sini pada 10.25 pagi dengan diiringi Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How, Setiausaha PKR Sarawak Nicholas Bawin dan beberapa pemimpin PKR negeri.

"Kami mahu meminta SPRM menjalankan penyiasatan terperinci dan menyeluruh terhadap perkara penting ini bagi menentukan jika terdapat sebarang salah guna kuasa oleh pemimpin tertentu parti dalam menyembunyikan penyelewengan dan perbuatan salah seperti yang dinyatakan dalam akuan bersumpah (SD) saya.

"Imej dan kewibawaan parti kami kini menjadi perhatian orang ramai kerana SD saya sudah tular dan isi kandungannya kini diketahui umum," katanya kepada pemberita di pejabat SPRM Sarawak di sini. Kedit kemudiannya menyerahkan SD beliau itu kepada SPRM untuk membantu siasatan itu.

SD bertarikh 17 Okt itu, membangkitkan syak wasangka berhubung kewujudan anggota palsu di Cabang Julau, yang dikatakan akan mencemarkan pemilihan parti.

Keanggotaan PKR Cabang Julau dilaporkan telah meningkat mendadak daripada hanya 603 pada 26 Jun kepada 13,000 sehari kemudiannya.

Sementara itu, Bawin berkata mereka tidak mempunyai pilihan selain membawa perkara itu kepada perhatian SPRM berikutan penyelewengan dan perbuatan salah yang mereka laporkan menerusi saluran parti tidak diendahkan.

"Setiausaha Agung parti kami (Datuk Saifuddin Nasution Ismail) mengeluarkan kenyataan yang dilaporkan dalam media semalam, bahawa semua senarai keanggotaan telah dimuktamadkan dan aduan kami telah melepasi tempoh bantahan," katanya.

PKR Sarawak ialah yang terakhir akan mengadakan pemilihan parti menerusi pengundian e-voting, pada 10 Nov.

-- BERNAMA