Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun menepis khabar yang mengatakan beliau melepaskan jawatannya dalam parti tersebut.

Tegasnya lagi, beliau tetap dengan pendiriannya yang memberikan sokongan penuh terhadap Presiden Parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya nak tegaskan di sini bahawa saya masih lagi Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, masih lagi ahli Bersatu dan menyokong penuh pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dalam keadaan ini saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan polemik politik cukup-cukuplah dalam keadaan kita sedang berdepan COVID-19 dan ada banyak lagi perancangan perlu dilaksanakan," katanya pada sidang media di Hotel Sofitel pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut membidas tindakan sesetengah pihak yang cuba untuk mengganggu gugat pentadbiran kerajaan ketika situasi sukar ini dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar.

Mengulas mengenai tindakan Tun Dr Mahathir yang ingin memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin beliau berpendapat perkara itu telah dijelaskan sepenuhnya oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.