Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersetuju dengan kenyataan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan yang dimaksudkan Khairy yang merupakan calon Presiden UMNO itu, adalah berhubung saranan Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar bijak mengimbangi tanggungjawab beliau untuk meyakinkan pelabur dan kepentingan untuk membongkar segala penipuandan penyelewengan dalam pengurusan dana negara.

Khairy berpendapat nasihat daripada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang bekas Menteri Kewangan itu wajar diterima oleh Guan Eng.

“Beliau perlu mengubah sedikit pendekatan beliau agar tidak dilihat sebagai menteri yg hanya membongkar sahaja.

“Ini kerana jawatan Menteri Kewangan mestilah daripada seseorang yang mampu memulihkan keyakinan pelabur-pelabur terhadap Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka,” jelasnya dalam sidang media calon Presiden UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Daganan Dunia Putra, di ibu negara hari ini.

BACA: Sah! Khairy bakal bertanding calon Presiden UMNO


Khairy juga berkata pihak kerajaan terutamanya daripada Kementerian Kewangan mestilah mampu memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur dan juga kepada pasaran luar negara selain daripada pengurusan wang rakyat dengan baik berhemah dan telus.

“Kita adalah sebuah negara yang terbuka, terbuka kepada pelaburan dalam bentuk FDI (foreign direct investments) pelaburan dalam pasaran modal kita dan sekiranya ada kenyataan-kenyataan yang menimbulkan satu kebimbangan yang tidak berasas, sudah pasti ini akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara Malaysia,” tambahnya.

Menurutnya juga, Guan Eng perlu berhati-hati dan tidak boleh menggunakan angka-angka yang tidak tepat ataupun membuat kenyataan-kenyataan yang boleh disalah tafsir.

Terdahulu, Anwar mencadangkan agar tanggungjawab membongkar segala salah laku dan penyelewengan diserahkan kepada menteri atau agensi lain.

"Beliau boleh tugaskan kepada satu atau dua menteri lain serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menjelaskan mengenai segala pembongkaran," jelas Anwar ketika rakaman temubual program 'AI' yang akan disiarkan 8.15 malam pada Khamis (21 Jun) ini.

Menurutnya, langkah tersebut membolehkan Guan Eng lebih fokus terhadap usaha mententeramkan serta meningkatkan keyakinan pelabur.

BACA: Guan Eng, biar menteri atau agensi lain bongkar penipuan - Anwar

"Saya ada bertemu dan memberitahu (Lim) Guan Eng bahawa jawatan Menteri Kewangan ini statusnya lebih sensitif.

"Setiap kenyataan (oleh Menteri Kewangan) akan merujuk terus kepada pelabur,” tambahnya.

Guan Eng memberi reaksi balas berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar bahawa rakyat berhak tahu tentang kedudukan sebenar ekonomi dan status kewangan negara kerana rakyat tidak mahu kerajaan sorok-sorok atau sembunyikan lagi.

BACA: 'Saya bukan PM, tiada kuasa arahkan menteri dedah skandal kewangan negara' - Guan Eng

“Kementerian saya akan terus membongkarkan semua skandal kewangan dalam tempoh masa 100 hari seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri," jelas Guan Eng.

Kementerian Kewangan juga telah menggariskan rancangan alternatif untuk menangani beban hutang RM1 trilion menerusi penangguhan projek-projek dan penjimatan perbelanjaan kewangan.