Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata beliau hanya akan menarik balik perkataan 'sial' sekiranya Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menarik balik kenyataannya yang disifatkan wakil rakyat itu sebagai 'tidak senonoh' di Dewan Rakyat.

"Biarpun bersongkok, tetapi perangai dan bahasanya (Tajuddin) adalah satu sikap yang langsung tidak berakhlak dan tidak melambangkan budaya Melayu. Kata-katanya memang layak mendapat gelaran 'menteri sial' kerana tindakannya itu sudah melampaui batas," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Tajuddin ketika ditemui di lobi Parlimen menyifatkan tindakan ahli parlimen Shah Alam itu sebagai kurang ajar dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Khalid sekiranya beliau mengulangi kenyataan itu di luar Dewan Rakyat.

"Macam mana perasaan anda jika anda dipanggil 'sial'? Mesti anda akan marah, kan? Ini suatu tindakan yang kurang ajar!" kata Tajuddin sambil mengulangi cabaran supaya Khalid menggunakan perkataan itu di luar Parlimen.

Menyahut cabaran itu, Khalid dalam satu sidang media berkata: "Dia (Tajuddin) mencabar saya, jadi saya buat sidang media hari ini. Saya tidak akan menarik balik perkataan 'sial' selagi beliau tidak menarik balik kenyataannya dan berjanji berkelakuan baik."

BACA: Dewan Rakyat kecoh, ahli parlimen bertikam lidah kerana perkataan 'kok'

"Dia keluar ajak saya bertumbuk, tetapi saya takut saya masuk penjara sebab membunuh atau mengakibatkan kecederaan parah, lalu saya mendengar nasihat ahli Parlimen lain supaya duduk diam-diam saja," katanya.