Parti Warisan Sabah (Warisan) diramal menang selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari ini, sekali gus meranapkan status kubu kuat yang dipegang parti Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu.

Hasil kajian yang dijalankan badan pemikir Ilham Centre mendapati calonnya, Datuk Karim Bujang yang berkhidmat selama lima penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan mempunyai kelebihan dengan 57 peratus berbanding calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Menurut ketua penyelidiknya Dr Muhd Yusri Ibrahim, hasil dapatan itu berdasarkan kajian yang dibuat membabitkan 491 responden terdiri daripada pengundi berdaftar di Parlimen Kimanis.

“Kami jangkakan Warisan akan memenangi dengan keadaan yang agak selesa berbanding sebelum ini BN memenangi dengan 150 undi (pada Pilihan Raya Umum ke-14) lalu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata faktor kemenangan parti Warisan dipengaruhi tiga pemboleh ubah utama iaitu Warisan sebagai parti pemerintah, faktor pengikut sedia ada, dan sentimen pengundi yang lebih menyokong parti tempatan.

“Yang pertama faktor Warisan itu adalah parti pemerintah yang kecenderungan pengundi untuk memberi undi kepada parti pemerintah adalah lebih tinggi berbanding parti BN sebagai pembangkang.

“Yang kedua adalah faktor pengikut-pengikut sedia ada daripada ADUN Membakut sendiri Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif yang keluar daripada BN masuk ke Bersatu.

"Jadi, mereka ada 6,500 pengundi yang asalnya menyokong Datuk Ariffin. Jadi, sebahagian besar itu mampu memberi undi kepada Warisan.

“Kemudian begitu juga pengundi Parti Harapan Sabah yang mempunyai 1,300 yang sebahagian besar juga akan memberi undi kepada Warisan.

“Kemudian sentimen pengundi di Kimanis ini lebih cenderung kepada lokal parti. Jadi, Warisan adalah parti tempatan di Sabah berbanding BN.

"Maka, kecenderungan pengundi kepada parti tempatan lebih tinggi berbanding parti yang dianggap sebagai parti Semenanjung,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Dr Muhd Yusri memaklumkan hasil kajian juga mendapati isu pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) boleh menjadi ancaman kepada Warisan jika ia tidak ditangani dengan baik.

Berdasarkan kenyataan berasingan yang dikeluarkan Ilham Centre pada Rabu, sebanyak 62 peratus responden menyatakan mereka amat memahami mengenai PSS dan 38 peratus menyatakan sebaliknya.

Sementara itu, berkaitan persetujuan pelaksanaan, sebanyak 38 peratus responden menyokong, 30 peratus tidak pasti, dan 32 peratus membantah keras pelaksanaan PSS.

Isu-isu nasional pula tidak mendapat tempat dalam psikografi pengundi dengan menyaksikan sebanyak 87 peratus responden menyatakan isu-isu lokal dan kenegerian adalah perkiraan utama berbanding isu nasional.

Malah, jelas kajian itu lagi, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga tidak mendapat perhatian responden kerana sukar difahami dan kompleks.

Ralat kajian tersebut dicatatkan sebanyak lima peratus dengan peratus keyakinan sebanyak 95 peratus.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundi itu terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 orang manakala DUN Membakut dengan 13,391 orang.