Penasihat parti DAP, Lim Kit Siang berkata pembangkang tidak pernah kekurangan bakat dari parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) untuk menggantikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ketiadaannya yang kini dipenjarakan atas kesalahan liwat.

Kit Siang turut menamakan beberapa pemimpin untuk memikul tanggung jawab itu termasuk anaknya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Di dalam DAP, ada Lim Guan Eng serta pemimpin muda yang telah teruji yang lain. Namun di dalam PKR ada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Nurul Izzah; di dalam PAS ada Datuk Seri Abdul Hadi dan pemimpin generasi baharu PAS,” kata Kit Siang dalam ucapan sempena sambutan Tahun Baru Cina pada Ahad.

Namun begitu katanya adalah terlalu awal untuk memperkatakan tentang ketua pembangkang ketika ini kerana di bawah perlembagaan, Anwar masih ahli parlimen Permatang Pauh dan ketua pembangkang di parlimen yang sah.

Kit Siang turut merayu kepada pemimpin Pakatan Rakyat agar menumpukan kepada usaha untuk menyelamatkan pakatan itu dan menghalang cubaan untuk mengganggu gugat dan memusnahkan kerjasama itu.

Kit Siang juga mengaku, PR kini berhadapan krisis paling getir sejak tujuh tahun lalu. Ini diburukkan lagi dengan Anwar di penjara dan kehilangan Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia baru-baru ini.