KJ disaran sertai PKR, DAP

KJ disaran sertai PKR, DAP
Isham Jalil mendakwa Khairy telah menunjukkan jiwa beliau bukanlah jiwa perjuangan Melayu dan Islam. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin disarankan menyertai PKR atau DAP susulan kenyataannya yang ‘mengherdik’ kerjasama Umno-Pas di PRK Seri Setia.

Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil mendakwa Khairy telah menunjukkan jiwa beliau bukanlah jiwa perjuangan Melayu dan Islam.
Katanya, Khairy juga dilihat sebagai seorang yang tidak ada pendirian dan opportunis apabila mengkritik bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dahulu menjulang Najib semasa beliau berkuasa, tetapi sebaik sahaja kalah pilihan raya terus mencemuh pula.

“Kita juga tidak mahu tanggung biawak sesumpah yang cepat tunjuk belang bila ditekan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy semalam dilaporkan berkata, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan kerjasama dibuat BN bersama Pas dalam PRK Seri Setia namun akur dengan keputusan parti.