Koh Tsu Koon bukan Cina, dia 'Jawa' - Mat Sabu

Koh Tsu Koon bukan Cina, dia 'Jawa' - Mat Sabu
Mohamad Sabu bersama moderator Tan Sri Johan Jaafar ketika Program Bicara Minda di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, 8 Mac, 2019. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM : Agenda Perpaduan Ummah yang diuar-uarkan melalui kerjasama PAS dan UMNO hanyalah demi kelangsungan politik kedua-dua parti itu semata-mata, kata Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mendakwa, itu sahaja isu yang mampu PAS dan UMNO mainkan walaupun selama ini sewaktu kerajaan di bawah pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN), merekalah yang ‘melingkupkan’ hak-hak Melayu.

“Mereka nak survive..  itu saja isu yang mereka boleh mainkan. Isu perkauman nak jaga Melayu. Selama ini pun yang melingkupkan hak-hak Melayu bukan orang kaum lain pun. Yang jaga Tabung Haji semua Melayu, yang jaga Felda semua Melayu, yang jaga Mara semua Melayu. Menteri-menteri besar semua Melayu, kecuali satu ja Penang.

“Jadi kalau hilang hak-hak Melayu tu, bukan ada orang-orang ini yang saya sebut tadi. Tabung Haji berapa orang lembaga pengarah orang DAP, MARA lembaga pengarahnya berapa orang... MCA pun takdak, bukan takat DAP… semua Melayu,” katanya dalam sesi Bicara Minda oleh Sinar Harian pada Jumaat.
Sambil menempelak kedua-dua parti itu sebagai pembohong, Mohamad yang lebih mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata, sudah jelas kaum Melayu sendiri yang banyak menjual hak-hak bangsa itu dan sekarang berpura-pura mahu membela pula.

Ditanya mengenai persepsi Pakatan Harapan dikuasai parti DAP, Mohamad berkata, itu merupakan propaganda yang paling mudah dilontarkan pihak pembangkang.

“Itu sahaja alasan paling mudah, yang kita ini ditunggangi oleh DAP. Bagi mereka Cina itu DAP, bila MCA bukan Cina sebab itu Lim Guan Eng jadi Ketua Menteri Pulau Pinang, maka mereka cakap habislah Cina dah ambik Pulau Pinang padahal (bekas Ketua Menteri) Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tu bukan Cina, dia 'Jawa',” katanya sambil disambut deraian tawa para hadirin.



Tsu Koon merupakan bekas Presiden Parti Gerakan Malaysia sewaktu pemerintahan BN dan menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama 18 tahun antara 1990 hingga 2008.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohamad berkata, setiap keputusan kerajaan dibuat melalui proses mesyuarat Kabinet dan disertai semua wakil parti, baik Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Amanah sendiri.

“Padahal kita dalam mesyuarat kabinet kita bercakap, kita berhujah, kita berbincang, bahkan hak kedudukan orang Melayu dan sebagainya tak disentuh,” tegasnya lagi.