Kombinasi calon lama dan baru merupakan formula yang membolehkan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan setiap kali pilihanraya, kata Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek.

Duta Malaysia ke Kemboja itu berkata bagi menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), BN perlu mengimbangi soal calon yang akan bertanding di kerusi parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, formula keseimbangan itulah yang membuatkan BN mendapat sokongan daripada masyarakat di Kuala Pilah hingga menjadi antara kubu kuat dengan memenangi kerusi parlimen dan lima kerusi DUN.

"Bagi menghadapi cabaran yang paling penting ialah soal substance ataupun isi dan wajib berakar kepada masyarakat.

"Imej kita boleh dibentuk tetapi substance mengambil masa yang lama dan perlu kesungguhan, selain itu sangat mustahak untuk pemimpin muda tidak lekas hanyut dan terpukau dalam kemilau kemewahan sehingga mengadaikan amanah, harga diri dan integriti.

"Masyarakat menilai kita 25 jam sehari ataupun 8 hari dalam seminggu, cuba kita fikirkan," katanya kepada Astro AWANI.



Manakala Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris pula berpendapat calon baru boleh memberi kesinambungan kepada perjuangan parti.

Namun beliau menegaskan, BN tidak boleh mengenepikan calon lama yang telah terbukti memberi khidmat kepada rakyat.

"Kombinasi antara calon baru orang muda dan calon sedia ada akan memberi kekuatan kepada parti dan kerajaan.

"Tenaga baru akan memberi kesinambungan kepada parti dan kita tidak boleh ketepikan calon lama kerana mereka tidak mengambil kesempatan untuk berniaga tetapi benar-benar menjadi wakil kepada rakyat.

"Calon muda pula perlu yang terbukti disukai oleh rakyat," katanya.



Terdapat desakan agar BN meletakkan lebih ramai calon muda untuk berdepan PRU14 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Namun disebalik desakan itu, ada juga yang berpendapat BN tidak sepatutnya menolak terus calon lama kerana mereka telah membuktikan kesetiaan kepada parti dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.