"Tunggu pengumuman Ketua Menteri dan Presiden parti,".

Itu merupakan jawapan ringkas Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof ketika dihubungi bagi mengulas mengenai kedudukan parti itu dan parti-parti lain dalam komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Jawapan yang sama dikongsi Ketua Wanita PPBB, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Katanya, semua persoalan bakal terjawab selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Sarawak pada hari berkenaan di Ibu Pejabat PBB.

Mesyuarat tersebut akan dihadiri oleh semua parti komponen termasuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan parti mesra BN, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

"Kita jangka Pengerusi BN Negeri, Datuk Abang Johari Tun Openg akan membuat pengumuman tentang hala tuju parti," katanya.

Jelas Fatimah, apa sahaja dasar, program dan langkah yang diambil sekarang akan memberi implikasi serta kesan kepada kelangsungan parti-parti di negeri itu selain mencerminkan sokongan rakyat kepada BN Sarawak.

Ketika ini terdapat khabar angin mengatakan PBB akan mengumumkan keluar BN, dan membentuk parti perikatan baharu, yang hanya bersifat lokal.

Ketua Penerangan PBB, Datuk Idris Buang pula menyifatkan laporan sebuah portal berita bahawa PBB keluar BN sebagai mengarut.

"Usah percaya akan khabar angin sehingga ia disahkan benar," katanya.

Setakat ini kesemua ahli dan wakil rakyat PBB mengunci mulut enggan menggulas isu berkenaan sehingga Ketua Menteri membuat keputusan rasmi.