Isu kos sara hidup merupakan antara isu yang paling diberi perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hasil cerapan Panel Penyelidik Universiti Malaya (UM) mendapati isu kos sara hidup menduduki tangga keempat dalam ranking isu yang paling dibimbangi rakyat Malaysia selain isu gaji, pekerjaan dan pengangguran yang menduduki tempat pertama.

Menyedari hakikat itu, kerajaan hingga 2016 telah membelanjakan lebih RM23.5 bilion bagi mengurangkan beban kewangan rakyat melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kos Sara Hidup (COL) sejak ia diperkenalkan pada 2011.

Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016, bantuan diberikan melalui bantuan segera dan bantuan jangka pendek seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M).

Usaha kerajaan juga turut memperlihatkan purata pendapatan golongan B40 turut meningkat daripada RM2,537 kepada RM2,828 pada 2016.

Bagaimanapun, pada sisi lain, masih wujud lompang kemiskinan yang mendalam di celah-celah kemakmuran yang dikecapi.

Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang membuat tinjauan di 17 projek perumahan rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur, umpamanya, mendapati 10 peratus kanak-kanak menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

Ia antara punca yang menyebabkan kes kekurangan berat badan, pertumbuhan terbantut, dan kurus kering dalam kalangan kanak-kanak di PPR adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding purata kes di Kuala Lumpur.

Luqman Hariz membawakan hasil dapatan data kerjasama Astro AWANI, Universiti Malaya dan Berkshire Media berkenaan perbandingan kos sara hidup di bandar dan juga luar bandar.