Susulan tular rakaman audio di media sosial berhubung kononnya wujud komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Zuraida Kamaruddin hari ini meminta semua pihak agar tidak mempercayai bulat-bulat apa yang tersebar.

Ia terutamanya apabila tidak dapat dipastikan kebenaran atau kesahihan sesuatu berita seperti yang terkandung di dalam rakaman audio, gambar dan sebagainya.

Jelasnya, setakat ini, dia masih belum mendengar atau menerima perkhabaran secara rasmi berkenaan isu pertukaran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selau menteri besar Perak.

"Saya tak dengar rakaman audio atau video itu. Perkara seperti ini kita harus pastikan dahulu, sama ada sahih atau orang tipu.

"Selagi ia tidak jelas, kita tidak boleh membuat tuduhan dan sebagainya. Jadi, bagi saya, ia saya anggap sebagai satu khabar angin yang tidak boleh diambil serius," katanya.

Pada Khamis, Exco Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains Dan Alam Sekitar Perak, Abdul Aziz Bari menafikan suaranya terkandung dalam rakaman audio yang tular mengenai kritikan ke atas prestasi Menteri Besar Perak.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu, penularan itu diibaratkan sebagai sembang kedai kopi dan tidak berasas.

Akhir-akhir ini, timbul isu berkaitan krisis pertukaran Menteri Besar Perak dan pergolakan dalaman yang dihadapi pimpinan PH Perak.