Lagi banyak parti Melayu, lagi kaum itu akan pecah belah - Tun Mahathir

Lagi banyak parti Melayu, lagi kaum itu akan pecah belah - Tun Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad (duduk, tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Yayasan Selangor pada Selasa. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penubuhan parti Melayu yang semakin banyak hanya akan memecahbelahkan lagi perpaduan dalam kaum itu di negara ini.

Mengambil contoh penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) diketuai Datuk Dr Ibrahim Ali, Dr Mahathir secara sinis berkata ia sesuatu yang 'cukup baik' jika mahu lihat orang Melayu dibahagikan kepada 100.

“Kita bebas untuk menubuhkan berapa banyak parti pun. Kalau kita tubuh 100 parti, itu cukup baik kerana orang Melayu akan dibahagikan kepada 100. Dan kita tiada satu parti Melayu yang besar. 

“Sebab itu saya galakkan banyak penubuhan parti Melayu. Negara kita majoriti 60 peratus Melayu, kalau berpecah empat tidak mengapa juga, ini berpecah sampai 100,” kata beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu pada Selasa.

Parti PUTRA menjadi parti terbaharu selepas permohonan mereka diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 8 Mei lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Mahathir memaklumkan Bersatu akan meminda beberapa perlembagaan parti itu dalam Kongres Luar Biasa (EGM) pada Julai depan.

Jelas beliau, ini kerana terdapat kekurangan dalam perlembagaan parti itu yang dilihat tidak memberi keadilan secukupnya dalam penentuan komposisi perwakilan cawangan dan bahagian.

“Dalam mesyuarat tadi, kita bincang berkenaan pindan perlembagaan di mana perlu dilakukan kerana perembagaan asal terdapat beberapa kekurangan dan ini telah dibetulkan dan dipinda supaya pentadbiran parti lebih licin.

“EGM kena ada untuk pinda perlembagaan. Ini merupakan syaratnya, dan EGM akan dihadiri oleh mereka (perwakilan) yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan yang lepas. Bersatu akan adakan EGM ini pada 20 Julai 2019.” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir turut memberitahu parti kini secara rasminya boleh menggunakan singkatan Bersatu dan bukan lagi PPBM kerana telah mendapat kelulusan daripada RoS.

“PPBM kini dikenali sebagai bersatu kerana ia telah diluluskan RoS. Dulu tidak dibenarkan guna perkataan Bersatu tetapi sekarang boleh guna,” katanya lagi.

Dalam sidang media itu, Tun Mahathir turut mengumumkan Rumah Terbuka Bersatu akan diadakan pada 22 Julai depan di Kulim Hi-Tech Kedah.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta kepimpinan tertinggi parti.


Tag: Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PPBM, Bersatu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Dr Mahathir Mohamad, Kongres Luar Biasa, EGM, perlembagaan parti


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.