Landskap politik di Sabah dijangka berubah selaras dengan pensejajaran yang berlaku di peringkat persekutuan.

Pensyarah Sains Politik & Dasar Awam UiTM Sabah, Mohd Rahezzal Shah Abdul Karim berkata, persoalan sama ada perubahan itu ke arah menyokong kerajaan Persekutuan atau berstatus sebaliknya masih belum terjawab memandangkan kerajaan negeri tidak menyatakan sebarang pendirian setakat ini.

Beliau berkata, ini berikutan timbulnya konflik selepas Parti Warisan Sabah (Warisan) menerusi Presidennya yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang konsisten menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kemelut pemilihan Perdana Menteri lalu.

"Persoalannya di sini adakah Kerajaan Negeri akan membuat sebarang kerjasama dengan Kerajaan Pusat itu tadi.

"Kerana sehingga hari ini masih belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan daripada Kerajaan Negeri atau daripada Ketua Menteri, Presiden Warisan mengenai adakah mereka akan mendekati atau berhubung, tidak ada juga respons, maklumat daripada pihak pusat tentang bagaimana ini berlaku," katanya.

Mohd Rahezzal berkata, dalam konteks politik di Sabah, terdapat isu yang perlu diambil kira mengenai sokongan parti lain di negeri ini kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya lagi, baru-baru ini terdapat beberapa pemimpin Warisan telah menyatakan pendirian peribadi mereka berhubung keengganan untuk bekerjasama dengan UMNO yang kini sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN).

"Dalam hal ini, apabila berlaku pucuk pimpinan sekarang Tan Sri Muhyiddin dan dalam konteks di mana tidak ada komitmen yang jelas daripada Parti Warisan tentang adakah sokongan mereka beralih kepada Tan Sri Muhyiddin.

"Saya kira mungkin akan berlaku desakan-desakan di peringkat Pribumi (Bersatu) di Sabah agar mungkin tidak menerima sebarang bentuk kerjasama kerana mereka mungkin melihat ini satu peluang.

"Di mana mereka boleh menguatkan Pribumi (Bersatu) di Sabah dengan mengambil kira bahawa Warisan bukan lagi kerajaan di peringkat pusat, persoalannya di sini berapa kuat desakan ini akan kuat dan sejauh mana ini akan diambil kira oleh Tan Sri Muhyiddin," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada perubahan landskap politik di Sabah bakal membawa kepada episod Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) 'melompat' untuk membentuk satu pakatan kerajaan baharu, Mohd Rahezzal tidak menolak andaian berkenaan.

Tambahnya, Sabah mempunyai rekod yang unik berhubung perkara itu dan ia telah dibuktikan menerusi sejarah tumbangnya Parti Bersatu Sabah (PBS) pada tahun 1994 serta terbaru, BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Kalau kita lihat di Parti Warisan mereka memang majoriti kerusi mereka agak tinggi, selesa dan secara keseluruhannya mereka mempunyai kelebihan kerusi yang tinggi.

"Kalaupun Parti Pribumi (Bersatu) ingin menjatuhkan kerajaan ini seperti melompat-lompat dan seumpamanya, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 15 hingga 16 kerusi untuk merealisasikan menubuhkan kerajaan dengan andaian bahawa Pribumi akan berganding dengan GBS dan parti-parti kecil yang lain.

"Tetapi ini semua bergantung sejauh mana ada berlaku proses ada tawar-menawar di peringkat pimpinan pusat di antara Presiden Warisan dengan Perdana Menteri, sekiranya ini tidak berlaku saya pasti lompat melompat bukan sesuatu yang apa, bukan sahaja pada tahun 1994 ya, PRU 2018 benda ini pun sama," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, meskipun dihalalkan dalam proses demokrasi, isu lompat-melompat ini harus diteliti secara tuntas bagi mengelakkan ia berlarutan sehingga menjejaskan kestabilan politik di Sabah secara amnya.

Untuk rekod, Parti Warisan setakat ini mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak dengan jumlah 31 buah kerusi diikuti sekutunya, DAP (6 kerusi), UPKO (4), PKR (2).

Manakala bagi pihak yang lain Bersatu mempunyai 9 buah kerusi, PBS (4), STAR (3) dan UMNO (1).