Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui, Langkah Kajang yang digerakkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjatuhkannya telah berjaya menyebabkan dirinya kehilangan jawatan.

Bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada Abdul Khalid dan pasukannya, Langkah Kajang dilihat turut berjaya mengaibkan beliau selepas menerajui kepimpinan negeri selama enam tahun.

"Langkah Kajang telah berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan saya kehilangan jawatan. Namun, lebih malang lagi, strategi politik yang tidak bermoral ini telah turut menyebabkan keretakan dalam pemuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat akibat sikap politik retorik dan hipokrit," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut beliau, Langkah Kajang amat merugikan Pakatan dengan mengakibatkan PAS yang menjadi rakan kongsi yang bekerja keras setiap kali pilihan raya, telah diketepikan dan dipecah-belahkan.

Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, ia turut mengaibkan pemimpin mereka yang terpalit.

Tidak kurang dengan itu, rakyat Selangor turut menjadi mangsa selepas beberapa isu penting terabai akibat Langkah Kajang.

"Penstrukturan Air Selangor masih belum dapat dilakukan dengan lancar sebagaimana sepatutnya, tanah Selangor diserahkan kembali kepada golongan 'rentier' yang hanya mengaut laba atas angin, masalah sampah masih berleluasa serta halatuju pentadbiran negeri yang masih kabur," katanya.

Tambahnya, beliau mengambil pendekatan berlapang dada atas permohonan maaf yang direkodkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana tidak mahu memanjangkan lagi persengketaan dengan pihak yang membuat tuduhan terhadapnya.

"Pada saya penyataan maaf sudah mencukupi untuk menebus maruah saya yang tercalar dengan fitnah yang dilemparkan," katanya.

Sebelum ini, kes saman fitnah yang difailkan Abdul Khalid terhadap PKR dan bekas setiausaha agungnya, Datuk Saifuddin Nasution, berakhir pada Jumaat lalu selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik.

Mahkamah Tinggi Shah Alam merekodkan penghakiman persetujuan dimana Saifuddin selaku defendan pertama dan PKR defendan kedua telah menyatakan rasa kesal mereka dan memohon maaf kerana mengeluarkan dan mengedarkan satu laporan 91 muka surat yang mengandungi pelbagai tuduhan fitnah terhadap Abdul Khalid.

Bagi Abdul Khalid, yang juga ADUN Port Klang, permohonan maaf tersebut pada anggapannya telah berjaya menebus maruah beliau lantas membuktikan segala tohmahan yang dilemparkan ke atasnya ternyata fitnah semata-mata.