Tutup

Lapan pemimpin Dapsy lebih baik diam daripada keruhkan keadaan - Armada Perak

Lapan pemimpin Dapsy lebih baik diam daripada keruhkan keadaan - Armada Perak
Tegas Mohd Hafez Mubin, mengaitkan satu kenyataan dengan isu yang terpalit individu lain adalah tindakan bodoh dan kebudak-budakan. - Facebook/Mubin Salleh
IPOH: Armada Bersatu Perak mendesak lapan pemimpin Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) supaya berdiam diri dari memberi ulasan terhadap kenyataan Ketua Armada Bersatu Kebangsaan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, kenyataan mereka menjadi lebih teruk apabila ia dikaitkan dengan isu tangkapan beberapa pimpinan Armada baru-baru ini dan pemilihan parti itu yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Apakah kaitan kenyataan Syed Saddiq dengan isu tangkapan beberapa pimpinan Armada baru-baru ini?

“Apakah pimpinan dalam DAP langsung tiada tuduhan kes yang masih dalam siasatan sekarang ini?
“Mengaitkan satu kenyataan dengan isu yang terpalit individu lain adalah tindakan bodoh dan kebudak-budakan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Lapan pemimpin Dapsy dalam satu kenyataan bersama membidas Syed Saddiq kerana mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain dalam isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

Mereka yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Setiausaha Pemuda DAP Antarabangsa, Satees Muniandy; Timbalan Ketua, Chiong Yoke Kong; Setiausaha, Eric Teh; Pengarah Pendidikan Politik, Tan Tiong Yih; Setiausaha Penganjur, Lee Wei Siang; Bendahari, Khoo Khim Han dan ahli jawatankuasa Woo Kah Leong dan Yu Ong Ching.

Mohd Hafez Mubin berkata, kenyataan Syed Saddiq tiada salahnya apabila Anwar sendiri telah beberapa kali meminta ahli PH untuk tidak mendesak tarikh peralihan kuasa ditentukan.

“Tuan badan sendiri menyatakan komitmen untuk menghormati konsensus yang telah dicapai pada Januari 2018 yang lepas.

“Lebih jenaka apabila veteran DAP, Lim Kit Siang sendiri mengarahkan pemimpin dan anggota PH supaya menghentikan obsesi berkenaan isu peralihan kuasa ini,” ujarnya.

Oleh itu, beliau meminta mereka berhenti dari bermain sentimen mewakili suara majoriti rakyat Malaysia yang kononnya mereka mahukan satu tarikh transisi ditetapkan.

“Saya sarankan kepada pemuda-pemuda ini, cukup-cukuplah bermain politik dan fokuslah kepada agenda menabur khidmat bakti atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat,” katanya.


Tag: Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, armada perak, bersatu, dap, dapsy, syed saddiq syed abdul rahman, mahathir mohamad, pkr, pakatan harapan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.