Mungkinkah polisi baharu seperti larangan merokok di premis makanan yang telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) awal tahun ini antara punca rakyat menolak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Rantau?

Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Ronnie Liu berkata beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kekalahan PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam disebabkan oleh janji manifesto dan polisi baharu yang diperkenalkan di bawah kerajaan Malaysia Baharu.

Justeru itu katanya, PH perlu membuat post-mortem berhubung kekalahan parti itu, yang disifatkan beliau sebagai mengejutkan.

"Faktor termasuk manifesto atau sesetengah polisi baharu yang tidak boleh diterima dalam kalangan ramai seperti cara mereka melarang orang merokok (di restoran).

"Ini menjadikan orang tidak suka atau rakyat tidak memberi sokongan kepada PH," katanya selepas merasmikan program Gotong-royong Perdana Basmi Denggi di Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.

Program bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Majlis Perbandaran Sepang itu diadakan susulan tujuh kes denggi dicatatkan di Taman Desa Vista, di sini setakat 31 Mac lalu.

Sebelum ini, Kerajaan mengumumkan semua tempat makan telah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok mulai 1 Jan 2019, di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Dalam pada itu, Ronnie yang juga ADUN Sungai Pelek berkata, ada juga segelintir pihak yang memainkan sentimen perkauman dan agama pada kempen PRK tersebut.

"Itu tidak sihat sebab kita negara yang berbilang agama. Saya harap pihak-pihak berkenaan hentikan," katanya.

Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Rantau selepas Datuk Seri Mohamad Hassan, yang juga Timbalan Presiden UMNO, menang dengan majoriti 4,510 undi.

Mohamad, 63 tahun, menewaskan tiga pencabarnya - Dr S. Streram (PH), R. Malarvizhi (Bebas) dan Mohd Nor Yassin (Bebas).

Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau dan pakar bius mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor masing-masing memperoleh 83 undi dan 79 undi.