Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata isu yang melanda parti itu terutamanya yang membabitkan kenyataan beberapa individu membuktikan PKR adalah sebuah parti yang mengamalkan demokrasi.

Namun Lembaga Displin PKR digesa mengambil tindakan terhadap pemimpin parti itu sekiranya mengeluarkan kenyataan yang bersifat keterlaluan.

“Keadilan, memang kita parti yang reformis yang demokrasi. Cuma kalau ada kenyataan yang keterlaluan, ini menjadi tanggungjawab Lembaga Displin untuk membuat keputusan atau teliti perkara tersebut.

“Jadi bagi saya, masing-masing merupakan kepimpinan. Dia (pemimpin politik) tahu apa yang perlu dibahaskan, dibangkitkan di dalam khalayak umum. Tapi kalau luar keterbatasan, jadi anda perlu bersiap sedia untuk diambil tindakan oleh Lembaga Displin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas nasihat yang diberikan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad agar tiada pergaduhan terbuka berlaku diantara pimpinan meskipun berbeza pendapat, Akmal berkata meskipun berbeza pandangan namun fokus harus diberikan kepada parti.

“Kita cuma berbeza pandangan, cuma dari segi perbincangan kami, sebab itu pandangan kami semua kita hendak selesaikan tanggungjawab sebagai AMK.

“Fokus kongres kita hendak pastikan kelangsungan itu. Dari segi nasihat, kalau betul kita (pemimpin politik) sama-sama hendak muafakat, kita sepatutnya letak segala pandangan itu dan juga mengangkat nama parti dahulu. Jadi kalau kita sama-sama hendak pertahankan parti, hendak pertahankan PH, kita harus berjiwa besar dan hormati proses struktur operasi parti,” katanya.