Politik Pas Kedah terus bergolak apabila salah seorang pemimpin utama yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengumumkan keluar parti Islam itu berkuat kuasa 11.59 malam ini.

Bekas Naib Presiden Pas itu berkata, keputusan beliau keluar daripada parti itu dibuat selepas mengambil kira parti Islam itu sukar bekerjasama dengan Pakatan Harapan selepas memutuskan hubungan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, beliau berkata, pengundurannya yang tidak dipengaruhi sesiapa, adalah atas dasar kegagalannya menyatukan rakan-rakan dalam Pakatan dan Pas.

"Saya akan menghantar surat kepada Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dan pemberhentian saya mengikut Perlembagaan Pas fasal 15 (2) berkuat kuasa 11.59 malam ini.

"Ramai tanya kenapa 11.59 malam, satu minit lagi untuk saya menarik nafas bagi melangkah kaki ke tahun baru," katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau sedih meninggalkan parti yang telah dianggotai sejak 34 tahun lalu, Mahfuz berkata, beliau sedih dengan apa yang berlaku dalam Pas.

Katanya, hala tuju Pas tidak lagi sama seperti dahulu apabila beliau turut terlibat bersama parti itu atas asas yang dibina oleh bekas Presidennya, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

"Saya serik dengan apa yang berlaku dalam Pas kini. Asas yang dibina Allahyarham (Fadzil), iaitu membina lebuh raya Islam, telah disempitkan hari ini," katanya.