Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap agar ugutan dan paksaan politik dihentikan tanpa mengira siapa mentadbir negara.

"Politik paksaan dan ugutan perlu dihentikan, saya bersetuju dengan kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di mana ugutan undi tidak dibenarkan tanpa mengira kelainan fahaman."

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Dewan Negara Bob Mo-nolan Mohamad yang dilapor berkata jawatan Tok Batin akan dilucutkan dan gaji ditahan sekiranya tidak menyokong Pakatan Harapan.

"Ini Malaysia Baru, masa untuk politik ugutan dan paksaan sudah berakhir tidak kira dia menyokong kita atau tidak. Kalau dia bagus, kita kena teruskan bantuan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena sambutan Hari Orang Kelainan Upaya (OKU) di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di Cheras pada Ahad.