Saya masih menunggu ‘ilham’, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bila ditanya bila agaknya pilihan raya umum ke-14 akan berlangsung.

Katanya lagi, bagaimanapun masih ada tempoh sehingga Jun tahun ini sebelum parlimen terbubar secara automatik.

“Apa yang saya tunggu? Saya masih menunggu ilham atau sesuatu untuk melihat apakah waktu yang paling sesuai (untuk membubarkan parlimen). Selagi kami melakukannya dalam tempoh masa sebelum Jun.

Kalau tidak dibubarkan sebelum Jun, maka parlimen akan terbubar sendiri. Jadi kita lihat dahulu, sama ada kita tunggu bulan Jun atau kita lakukan lebih awal,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Najib berkata, MT mengambil maklum tentang suasana ekonomi semasa negara, di mana ringgit semakin mengukuh, kadar pertumbuhan (KDNK) tinggi, Bursa Saham berada di paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun, kadar inflasi yang rendah, serta kadar pengangguran di sekitar empat peratus.

“Ini menunjukkan bahawa dasar-dasar yang dijalankan kerajaan telah membuahkan hasil yang menggalakkan dan ini mewujudkan suasana bisnes dan consumer confidence yang tinggi berdasarkan pada laporan yang telah pun disiarkan dalam akhbar pada hari ini,” katanya lagi.