Barisan Nasional (BN) Sabah sedia mengetengahkan lebih ramai calon muda dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Pemuda BN Sabah, Yamani Hafez Musa berkata, saranan itu diharapkan dapat direalisasikan namun calon berkenaan perlu menepati ciri-ciri yang diperlukan.

"Kita sentiasa komited dalam mengetengahkan lebih ramai calon muda pada PRU akan datang namun calon itu perlulah menepati ciri yang diperlukan kerana kita tidak boleh memilih calon sesuka hati tanpa menepati terma tertentu.

"Mengetengahkan calon muda ini juga selaras dengan pelaksanaan Tansformasi Nasional 2050 (TN50) yang mana generasi muda memainkan peranan penting untuk merealisasikannya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: BN Sabah gubal Manifesto PRU14 dalam Kolokium Orang Muda - Armizan

BACA:
UMNO yakin BN mampu pertahan semua kerusi di Parlimen Semporna

Jelasnya, saranan itu dinyatakan semasa sidang media selepas mempengerusikan Kolokium Manisfesto Orang Muda di Kota Kinabalu pada Rabu.

Turut hadir pada sidang media berkenaan, Ketua Puteri UMNO Sabah, Normala Rasik dan Ketua Pemuda UMNO Papar yang juga Ketua Sekretariat Kolokium Manifesto Orang Muda, Datuk Armizan Mohd Ali.

Kolokium Manifesto Orang Muda yang diadakan di Hotel Tabung Haji, Kota Kinabalu itu menghimpunkan pimpinan muda dalam BN Sabah bagi membincangkan dan merumuskan aspirasi generasi anak muda akar umbi di negeri itu.

Menurut Yamani, menerusi kolokium itu, empat fokus berkaitan orang muda iaitu peluang pekerjaan dan pendidikan, sara hidup dan perumahan, pembangunan infrastruktur serta ekonomi dan pengupayaan orang muda dijadikan sebagai fokus utama.

"Hasrat Pemuda BN dan Puteri UMNO Sabah adalah agar rumusan Kolokium Manifesto Orang Muda itu mendapat pertimbangan dalam penggubalan Manifesto BN pada PRU14.

"Rumusan ini juga kita akan panjangkan sebagai maklum balas terhadap penggubalan serta pelaksanaan dasar dan program kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan," katanya.

Tambahnya, dalam aspek peluang pekerjaan dan pendidikan, kolokium merumuskan agar usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan perlu digerakkan secara serentak dalam sektor awam, swasta serta keusahawanan.

"Pemuda BN Sabah dan Puteri UMNO Sabah menghargai pendekatan yang dilaksanakan kerajaan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) yang memberikan pinjaman perniagaan dengan akses yang amat meluas.

"Bagi Sabah, sejak ia ditubuhkan pada tahun 1998 sehingga 2017, Tekun telah membantu para peniaga dan usahawan muda di bawah umur 40 tahun dengan memberikan pinjaman sebanyak RM231 juta.

"Strategi merakyatkan dan memperluaskan akses kepada dana latihan dan keusahawanan seperti ini perlu dipergiatkan. Ini termasuk aspek bimbingan dan pementoran keusahawanan," katanya.