Pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya tidak terlalu 'khusyuk' untuk melobi sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti sehingga mengabaikan kepentingan parti sendiri.

Bendahari Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, ini memandangkan soal pemilihan calon PRU adalah tertakluk kepada hak muktamad Pengerusi BN iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dimana semua pihak perlu akur demi kepentingan parti.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi Dan Multimedia itu berkata, meskipun melobi atau menawarkan diri sebagai calon dianggap perkara biasa ketika menjelangnya pilihan raya umum, namun Salleh berpendapat apa yang penting adalah mencapai kemenangan selesa dan bukannya tertumpu kepada perkara siapa calon yang diketengahkan nanti.

“Memang ini satu perkara biasa, mana-mana tempat pun berlaku masing-masing ingin menawarkan diri sebagai calon, itu tidak salah.

“Tetapi saya ingin memberikan penegasan dalam sistem parti UMNO atau Barisan Nasional, calon itu ditentukan oleh pucuk pimpinan kita, jadi kita tidak boleh memikirkan soal siapa yang bertanding yang harus kita fikir ialah pada pilihan raya umum akan datang lambangnya, simbolnya adalah dacing, itu adalah simbol parti, jadi kita bekerja untuk parti dan bukannya untuk calon sebenarnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berkesempatan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Kediaman Kapitan Cina Datuk Andy Chua di Kampung Tombol, Kota Belud, hari ini.

Salleh dalam pada itu meminta anggota parti BN sama ada Umno atau komponen untuk mengukuhkan jalinan dan memberi sokongan padu kepada calon yang dimuktamadkan nanti.

“Apabila pucuk pimpinan sudah menentukan calon tanggungjawab kita adalah merapatkan barisan dan memperkuat parti kita supaya kita memperoleh kejayaan selesa,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis rumah terbuka berkenaan, Salleh berkata ianya adalah sebagai bukti perpaduan sedia ada rakyat di negara ini terutamanya di Kota Belud dalam menghormati keharmonian pelbagai kaum dan agama.

Lebih 2,000 penduduk di daerah berkenaan hadir untuk memeriahkan majlis rumah terbuka itu yang turut menyajikan pelbagai juadah dan persembahan tarian singa.