Keputusan Pakatan Harapan melantik Tun Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri terus cetus pelbagai persoalan, antaranya adakah beliau sedia menyerahkan jawatan berkenaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Selain itu, selepas Anwar dilantik, timbul pula persoalan adakah rakyat mahu negara ditadbir oleh pasangan suami isteri memandangkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi timbalan perdana menteri?

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, itu dua persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat selepas Pakatan Harapan (PH) membuat pengumuman berkenaan.
Apakah nanti juga kalau benar Anwar dibebaskan apakah kita nak negara ini dipimpin oleh suami dan isteri?



''Apakah nanti juga kalau benar Anwar dibebaskan apakah kita nak negara ini dipimpin oleh suami dan isteri? Ia bukan hanya menjejaskan negara dalam semua aspek ekonominya,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Astro Awani selepas merasmikan majlis pemasangan papan tanda dan doa selamat kerja-kerja awal Projek Perumahan Rakyat Lenggong di sini, hari ini.

Tambahnya, status Tun Mahathir sebagai perdana menteri sementara juga bakal menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

''Pandangan masyarakat luar dalam tempoh setahun sebelum Anwar kononnya ambil alih, apakah kita boleh tingkatkan keyakinan antarabangsa.

''Katalah negara luar mahu buat rundingan ekonomi dengan negara kita, mereka kata tak boleh berunding dengan Tun M kerana dia perdana menteri sementara bukan perdana menteri penuh,'' jelasnya.

Beliau menegaskan, ekonomi negara akan merudum sekiranya tiada pelaburan baharu masuk dalam tempoh setahun sehingga peralihan kuasa PH selesai.

Justeru katanya, adalah penting untuk memilih perdana menteri yang konsisten bagi memastikan negara tidak terjejas.

''Ada jaminan ke Tun M akan beri jawatan kepada Anwar Ibrahim? Tidak ada jaminan kerana tiada perjanjian rasmi pun dibuat,'' ujarnya lagi.

Sementara itu, menyentuh keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bakal bertanding di Parlimen Lenggong dalam Pilihanraya Umum Ke-14, Shamsul Anuar mengakui tidak akan memandang mudah cabaran berkenaan.

''PPBM belum ada sebarang rekod yang boleh dibanggakan di Lenggong tetapi UMNO akan tetap melipat gandakan usaha agar ia kekal sebagai kubu kuat BN,'' ujarnya.

Malah beliau meramalkan akan wujud pertembungan tiga penjuru di parlimen yang mempunyai 90 peratus Melayu itu nanti.

''Sebagai parti terutama sekali di Lenggong, kita telah bersiap sedia sepeunuhnya dengan strategi jika berdepan pertandingan tiga penjuru, satu lawan satu dan sebagainya, kita bersedia.

''Saya tak boleh kata kita 100 peratus yakin walaupun Lenggong kubu kuat BN tetapi kita akan tingkatkan gerak kerja,'' katanya.


Dalam PRU-13 lalu, Shamsul Anuar mengalahkan calon Pas, Razman Zakaria di Parlimen Lenggong dengan majoriti 3,453 undi.