Malaysia mencatatkan jumlah pengundi tertinggi dalam sejarah apabila 12,299,514 rakyat Malaysia membuang undi dalam pilhan raya umum ke-14 (PRU14) pada Rabu lalu.

Angka ini mewakili 82.32 peratus daripada jumlah pengundi (14,040,624) yang layak mengundi.

Peratusan pengundi yang keluar untuk membuang undi adalah luar biasa, memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil keputusan untuk mengadakan hari mengundi pada pertengahan minggu.

Pilihan raya umum pada 2013 menyaksikan 84.84 peratus atau 11.257 juta pengundi berdaftar keluar mengundi, manakala jumlah pengundi yang keluar mengundi pada 2008 ialah 75.99 peratus atau 8.161 juta.

Kedua-dua hari pengundian tersebut diadakan pada hujung minggu.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mempertahankan peranan SPR sebagai pertubuhan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Proses peralihan kuasa kerajaan negara dilakukan dengan aman, walaupun terdapat pelbagai tuduhan negatif terhadap SPR.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri yang ketujuh dan juga kepada pemimpin-pemimpin negeri lain yang mendapat mandat rakyat pada PRU kali ini,” kata beliau.

Dr Mahathir menyatakan dalam sidang akhbar awal pagi Jumaat bahawa siasatan ke atas beberapa pertubuhan, termasuk SPR, bakal dijalankan bagi memastikan mereka tidak mengekang hak-hak rakyat.

Beliau juga mengatakan bahawa dia telah kehilangan keyakinan terhadap Jabatan Peguam Negara, sambil menambah, jabatan itu telah ‘menghampakan’ beliau berulang kali.