Cadangan untuk Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi calon perdana menteri seandainya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum (PRU) kelak hanya akan terlaksana sekiranya keempat-empat komponen gabungan itu menyetujuinya.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata, sekiranya terdapat keputusan sepakat oleh keempat-empat parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan DAP, barulah ia boleh digunakan dalam manifesto PRU nanti.

"Saya berpegang kepada pendirian empat parti ini," katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai cadangan itu.

Katanya lagi, buat masa kini tiada sebarang persetujuan rasmi dicapai, dan beliau akan melihat sama ada perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan esok.

Mengenai pendaftaran Pakatan Harapan sebagai sebuah entiti politik sah di bawah peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Dr Mahathir berkata, sepatutnya tak ada masalah lagi memandangkan PPBM dan DAP sudah pun menyelesaikan isu-isu berkaitan yang ditimbulkan sebelum ini.

"Dia (RoS) pun tak bagi tahu apa masalah sebenarnya sebab kita kalau boleh nak betulkan. Kami sedia diperbetulkan," tambahnya ketika ditanya sekiranya wujud lagi halangan untuk membolehkan Pakatan Harapan didaftar sebagai pertubuhan rasmi.

Pada November lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pendaftaran Pakatan Harapan masih belum diluluskan RoS berikutan beberapa perkara dalaman parti-parti terlibat yang belum diselesaikan.

Antaranya, kegagalan DAP menyelesaikan laporan pemilihan semula jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 Nov lepas, serta kegagalan PPBM mengadakan perhimpunan agung dan permohonan pindaan perlembagaan PPBM yang belum diluluskan.

Susulan itu, PPBM telah mengadakan persidangan agung tahunannya yang pertama di Pusat Dagangan Ideal Shah Alam pada 30 Dec lepas, dihadiri oleh 941 perwakilan daripada 137 bahagian.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, PPBM telah melancarkan 'Harapan Baru: Policy Talks', di mana ia akan menjadi platform bagi pembentangan cadangan polisi-polisi pentadbiran Pakatan Harapan sekiranya gabungan itu memenangi PRU nanti.

Selain itu, katanya lagi, ia akan menjadi platform untuk mengimbau pengalaman dan polisi yang diguna pakai sewaktu zaman pentadbiran beliau dari tahun 1981 hingga 2003.

"Ia akan diadakan setiap minggu bermula minggu hadapan dan menggunakan pelbagai pendekatan dari media sosial hingga ke program-program dan perbincangan dua hala seperti town hall," tambahnya.