Tutup

Mampukah PH mengatasi krisis politik kali ini?

Mampukah PH mengatasi krisis politik kali ini?
PERIASAMY: Apakah PH mampu mengatasi krisis politik yang bakal dihadapi kesan Anwar tidak dilantik sebagai perdana menteri yang kelapan? - Gambar BERNAMA
LAPORAN media sosial terhadap desakan satu pihak tertentu untuk Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menghangatkan suasana suhu  politik negara malah menimbulkan pelbagai persepsi.

Menyerah jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir kepada Anwar dilaporkan antara keputusan, persetujuan  dan perjanjian sulit yang dibuat dalam kalangan pemimpin-pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) apabila PH membentuk kerajaan Persekutuan dengan  memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada bulan Mei 2018.
Namun, ada pihak tertentu yang berpengaruh, termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyuarakan hasratnya agar Dr Mahathir terus memegang jawatan  perdana menteri yang disandang sejak PH menguasai Putrajaya agar ia menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Malah, segala perancangan untuk memulih dan menyelamatkan ekonomi negara yang kononnya merosot akibat pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 61 tahun dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Parti Pas juga menyokong Dr Mahathir terus menyandang jawatan perdana menteri sehingga PRU ke-15.
Kekuatan Bersatu

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diasaskan dan diterajui Dr Mahathir hanya menang 13 daripada 52 kerusi yang ditandinginya pada PRU ke-14 berbanding PKR yang diterajui oleh Anwar memenangi 48 kerusi Parlimen.

Namun, Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri dengan sokongan daripada parti-parti yang bergabung dalam PH terutamanya sokongan dan  persetujuan PKR serta DAP yang memenangi 42 kerusi Parlimen dan Amanah, sebuah parti serpihan Pas yang memenangi 11 kerusi.

Jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi parti-parti yang bergabung dalam PH jelas menunjukkan Bersatu merupakan parti yang paling lemah, malah  jumlahnya lebih rendah  daripada PKR.

Kedudukan ini yang dikatakan kononnya  menyebabkan Dr Mahathir berkompromi dengan kepimpinan PKR supaya beliau dilantik sebagai perdana menteri, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemimpin PKR, dilantik sebagai timbalan perdana menteri apabila PH memenangi PRU ke-14.

Pemikiran dan tindakan strategik Dr Mahathir itu membolehkan PH menjadi kerajaan memerintah. Malah, Dr Mahathir mencatat sejarah dengan dilantik kali kedua sebagai perdana menteri yang ketujuh.

Baik, apakah senario politik negara sekiranya Dr Mahathir tertekan untuk tidak menyerah jawatan perdana menteri yang disandangnya kepada Anwar seperti dijanjikan?

Pelbagai pihak membuat andaian dan spekulasi terhadap isu ini. Antaranya, ada pihak yang membuat andaian bahawa PKR akan keluar daripada PH atau Ahli-ahli Parlimen yang menyokong Anwar akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Sekiranya Ahli Parlimen PKR meletakkan jawatan, maka akan timbul isu kekurangan bilangan kerusi yang mencukupi bagi PH untuk terus kekal sebagai pemerintah.

Memandangkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, maka PH memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi (simple majoriti) daripada jumlah 222 kerusi Parlimen untuk kekal sebagai kerajaan pusat.

Kekurangan majoriti dalam bagi PH akan mengundang kemungkinan Parlimen dibubarkan.

Undi tidak percaya

Dalam pada itu, ada juga pihak yang mengandaikan bahawa Parlimen akan menyaksikan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Dr.Mahathir sekali gus kerajaan PH yang dibawa oleh pihak yang menyokong Anwar kerana kecewa dengan tindakan Dr Mahathir yang  tidak menyerahkan jawatannya kepada Anwar.

Sekiranya Dr Mahathir berhadapan dengan senario ini, tiada kepastian semua 50 ahli Parlimen PKR akan menyokong usul tidak percaya terhadap Dr Mahathir.

Ada Ahli Parlimen PKR yang menyokong Mohamed Azmin tidak akan menyokong usul tidak percaya terhadap Dr Mahathir.

Mengikut laporan media, UMNO (37), Pas (18), Warisan (8) dan Amanah (11) sedia memberi sokongan kepada Dr Mahathir untuk  terus menyandang jawatan perdana menteri.

Apakah sokongan UMNO, Pas dan lain-lain parti mencukupi untuk menahan PH dan Dr Mahathir terus kekal sebagai kerajaan pusat  dan perdana menteri?

Dalam pada itu, Bersatu (26), UMNO (37), Pas (18), Warisan (9) dan Amanah (11) dijangka memberi sokongan kepada Dr Mahathir dalam usaha mematahkan usul undi tidak percaya terhadapnya.

Manakala, DAP (42), Gabungan Parti-Parti Sarawak (18), Parti-Parti Gabungan di Sabah (3) dan bebas (3), MIC (1), MCA (1) dan bebas (3) didapati tidak pasti sokongan mereka kepada mana-mana pihak.

Kedudukan ini menimbulkan suasana  limbo politik atau kurang pasti keputusannya.

Dalam pada itu, ada pihak yang menguar-uarkan dalam media sosial kononya DAP akan menyokong Anwar sekiranya didesak untuk memilih antara Dr Mahathir dan Anwar atas hubungan akrab yang tersedia terjalin antara Anwar dan kepimpinan DAP sendiri sejak Anwar dipecat daripada UMNO pada tahun 1999.

DAP pada masa itu menyertai Barisan Alternatif yang ditubuhkan Anwar  untuk menentang BN iaitu kepimpinan Dr Mahathir.

Dengan ini, jelas bahawa kedudukan kerajaan PH dan kepimpinan Dr Mahathir adalah sangat tidak stabil malah tergugat.

Persoalannya, apakah PH mampu mengatasi krisis politik yang bakal dihadapi kesan Anwar tidak dilantik sebagai perdana menteri yang kelapan?

Apakah Dr Mahathir mampu menjatuhkan kerajaan BN (UMNO) kepimpinan Najib dengan strategi berpakat dengan DAP, iaitu musuh ketatnya sejak dilantik sebagai Ahli Parlimen pada tahun 1964 dapat mengatasi serangan daripada kumpulan penyokong Anwar pada kali ini?

Atau apakah PH yang ditubuhkan pada tahun 2017 akan hilang daripada radar  medan politik Malaysia?



*Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.


Tag: Anwar Ibrahim, Azmin Ali, Mahathir Mohamad, Wan Azizah, PPBM, UMNO, DAP, MIC, MCA, Pakatan Harapan, PRU, Parlimen, amanah, pilihan raya, menteri, Najib Razak, media sosial



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.