Esok merupakan hari terakhir tempoh 14 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, dan tumpuan sudah pasti kepada calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni sama ada beliau mampu mengekalkan status quo parti itu.

PKR mempertaruhkan Mohd Zawawi yang merupakan anak tempatan Kampung Jalan Kebun di sini, untuk mempertahankan penguasaan tiga penggal parti itu yang sebelum ini diperoleh menerusi bekas Anggota Dewan Undangan Negeri, Allahyarham Mat Shuhaimi Mat Shafiei.

PRK itu diadakan berikutan kematian Mat Shuhaimi akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Dikatakan mendapat 'restu' kuat daripada presiden parti, Mohd Zawawi atau mesra dipanggil Ustaz Zawawi menjadikan isu-isu 'lokal' seperti masalah sistem perparitan dan sampah selain pembangunan di kawasan Sungai Kandis sebagai modal kempen.

Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun berusia 48 tahun itu optimis mampu mengekalkan kemenangan PKR di kawasan tersebut meskipun menyedari kemungkinan memperoleh majoriti undi lebih rendah berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu iaitu 12,480 undi.

Beliau juga yakin mampu menyapu bersih undi kaum India selain yakin mendapat separuh daripada 7,573 undi penyokong yang mengundi PAS pada PRU14, walaupun parti Islam itu telah menyatakan sokongan kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam bersandarkan alasan kerajaan Pakatan Harapan 'mengabaikan' Islam dan orang Melayu.

Sementara BN pula mempertaruhkan Lokman yang merupakan 'orang luar' sebagai calon dan meskipun ini merupakan kali pertama parti itu berkempen sebagai pembangkang di peringkat persekutuan, calonnya dilihat tidak kekok kerana mungkin disebabkan beliau pernah bersama dengan PKR sebelum ini.

Isu-isu yang dibangkitkan anggota Majlis Tertinggi UMNO berusia 45 tahun itu sepanjang berkempen lebih banyak menjurus kepada janji 100 hari Pakatan Harapan, kedudukan orang Melayu, Islam dan raja yang dilihat bertujuan menarik sokongan orang Melayu di kawasan itu.

Seramai 71.34 peratus pengundi berdaftar di DUN Sungai Kandis terdiri daripada kaum Melayu.

Malah Lokman Noor turut mendapat sokongan padu daripada pimpinan UMNO terutama bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilihat kerap turun padang untuk membantu kempen.

Mohd Zawawi juga tidak kurang mendapat sokongan kuat daripada pimpinan Pakatan Harapan terutama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup terbang dari Turki pada hari-hari terakhir kempen walaupun kelihatan masih lemah selepas menjalani pembedahan.

Pada PRK ini, BN memahami bahawa agak sukar untuk mencapai kemenangan namun, parti itu tekad untuk sekurang-kurangnya dapat mengurangkan majoriti undi PKR yang diperoleh pada PRU14.

Sokongan daripada PAS juga dilihat 'tidak cukup kuat' untuk membantu kemenangan BN kerana berdasarkan jumlah undi yang diperoleh calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada pilihan raya umum lalu, ia masih belum dapat menandingi jumlah undi yang diperoleh Allahyarham Mat Shuhaimi.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi, bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Menjadi tanda tanya, sepanjang tempoh berkempen ini, kelibat calon Bebas K. Murthy langsung tidak kelihatan, namun itu tidak menghairankan kerana ketika hari penamaan calon pada 21 Julai lepas, beliau enggan berkongsi susunan gerak kerja dan manifestonya dengan pihak media.

Pesara kerajaan berusia 60 tahun itu hanya memberitahu keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas bertujuan 'menabur bakti kepada rakyat Selangor'.

Dalam pada itu, berkongsi pandangan mengenai peluang ketiga-tiga calon untuk memenangi PRK berkenaan, penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali turut menjangkakan pengekalan status quo.

Ini katanya, berdasarkan kepada perkembangan politik semasa, khususnya selepas PRU14 di mana PKR mampu mengekalkan kerusi tersebut berasaskan sentimen penerimaan rakyat Selangor terhadap pentadbiran kerajaan sedia ada.

Tambahan pula, beliau berkata tindakan PKR meletakkan calon tempatan dan berpengalaman dalam politik kepartian tempatan kelihatan mendapat restu serta persetujuan positif daripada pimpinan tempatan dan nasional.

"Walaupun terdapat beberapa nama lain lagi yang berpotensi sebagai calon, namun kesepakatan pimpinan mampu menyatukan serta menggerakkan jentera tanpa mengira perbezaan kepentingan dalam parti.

Bagi BN pula, Che Hamdan berkata PRK ini dilihat lebih kepada ingin merebut peluang untuk menyebarluaskan isu dan sentimen Melayu-Islam bagi menguatkan tuduhan mereka terhadap Pakatan Harapan yang dianggap bakal melemahkan kedudukan Islam dan Melayu di negara ini.

"Memandangkan majoriti Sungai Kandis terdiri daripada pengundi Melayu, maka ia menjadi platform terbaik bagi BN dengan mengetengahkan Lokman Noor sebagai hulubalang mereka bagi menyemarak isu Islam dan Melayu yang menjadi 'tumit Achilles' (titik kelemahan) bagi Pakatan Harapan," katanya kepada Bernama.

Sementara calon Bebas pula, pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Kampus Raub, Pahang, itu berkata, adalah tidak signifikan dalam PRK kali ini.

Namun, katanya, dalam setiap kali PRK, calon Bebas dapat mempromosikan diri dengan kos yang murah.

Apa yang pasti apa sahaja keputusan PRK ini tidak akan mengubah kedudukan Pakatan Harapan yang masih kebal dengan majoriti dua pertiga daripada 56 kerusi DUN Selangor.

BN pula sudah pasti ingin memburu kemenangan sebagai 'test market' bagi menguji survival parti yang kehilangan kuasa pentadbiran kerajaan persekutuan selain membuktikan parti itu khususnya UMNO masih relevan kepada rakyat terutama orang Melayu.

Semuanya terserah kepada 51,217 pengundi di DUN Sungai Kandis yang akan menunaikan tangungjawab memilih mereka Sabtu ini.

-- BERNAMA