Tutup

Masa untuk berlembut sudah habis, tiada ruang untuk pengkhianat - Anwar

Masa untuk berlembut sudah habis, tiada ruang untuk pengkhianat - Anwar
Anwar turut mengingatkan kesemua pimpinan dan ahli bahawa, Keadilan lahir sebagai wadah untuk memperjuangkan nasib kesemua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama. - Foto BERNAMA
AYER KEROH: Sudah tiba masanya pertelagahan dan persengketaan dalam Parti Keadilan Rakyat dihentikan, kata Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, perwakilan dan pemerhati Kongres Nasional Keadilan 2019 hari ini telah memberikan mesej bahawa amat penting untuk semua pihak bersatu, dan fokus kepada agenda reformasi dalam mendepani masalah rakyat.
Atas sebab itu, Anwar berkata, beliau kini lebih tegas, dan mahu Lembaga Displin menyiasat serta menghukum mereka yang cuba memecah-belahkan parti, terutamanya pihak yang membuat kekecohan sewaktu Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam.

“Hanya satu kem, ada berbeza (pendapat) tidak salah tetapi mesti ada haluan yang satu. Sebelum ini saya berlembut, saya tak kisah sangat. Tapi saya ingat dengan kongres ini dan mesej kongres, saya harap agar parti balik kepada landasan dan tumpu pada isu pembangunan dan kesenjangan rakyat,” katanya kepada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar sempena kongres parti ke-14 itu.
Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar memohon maaf kepada parti dan rakyat Malaysia atas kekecohan yang berlaku di Kongres AMK semalam, sehingga mengakibatkan pergaduhan dan kecederaan pada yang terlibat.

BACA: Anwar mohon maaf, kesal atas kekecohan di Kongres AMK

“Saya minta maaf kepada anggota parti, dan penyokong kerana apa yg berlaku semalam dalam mesyuarat pemuda, amat dikesalkan.

“Dan saya arahkan parti ambil tindakan segera memecat siapa sahaja terlibat. Hal ini dalam perhatian pihak polis...jadi jangan terburu buru buat keputusan memihak, tetapi berlandaskan fakta,” katanya lagi.

Dalam ucapan itu, Anwar turut mengingatkan kesemua pimpinan dan ahli bahawa, Keadilan lahir sebagai wadah untuk memperjuangkan nasib kesemua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama.

“Keadilan telah memilih untuk jadikan wadah ini parti perjuangkan rakyat Malaysia. Keadilan telah memilih untuk mendepankan rakyat ini terutamanya yang kurang nasib baik, yang miskin, Melayu dan Bumiputera, termasuk India di estet, termasuk Cina di pinggir bandar. Ini semua masih tetap jadi agenda perjuangan,” tegasnya lagi.




Tag: Parti Keadilan Rakyat, PKR, Kongres Nasional Keadilan 2019, agenda reformasi, Kongres AMK, Lembaga Displin



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.