Perihal mengenai Pilihan Raya Negeri ke 12 (PRN-12) Sarawak akan menjadi intipati utama perbincangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatannya akan datang.

Menurut Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing, ini termasuk cadangan tarikh mengadakan PRN.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak turut mencadangkan agar PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan secara serentak.

“Saya mencadangkan apabila Sarawak mengumumkan Pilihan Raya Negeri, Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan ia (Pilihan Raya Umum) serentak.

"Keputusan ini dapat mengembalikan kestabilan politik negara seperti sedia kala,” katanya.

Jelas beliau lagi, pelaksanaan tersebut adalah wajar apabila mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Kata Uggah, masa yang tidak dilengahkan dapat dimanfaatkan untuk memberi fokus sepenuhnya pada strategi dan pelan membangunan negara.

“Biarkan Malaysia memilih siapa yang harus dilantik menjadi Perdana Menteri. Sekiranya rakyat mahukan Tan Sri Muhyiddin, ini adalah masa yang terbaik. Jadi tiada pertelingkahan selepas ini.

“Kita selesaikan perkara. Jadi masa untuk lima tahun lagi adalah membina negara,” jelas Masing.

Sekiranya ia dapat direalisasikan, kata beliau kestabilan politik negara juga dapat dikembalikan seperti sedia kala.

“Harus difahamkan, masa untuk memilih bagi Sarawak adalah sekarang. Bagi mereka (Perikatan Nasional) belum lagi. Saya berharap mereka akan melaksanakannya mengikut Sarawak.

“Persoalannya, mereka harus memastikan mereka bersedia dari segi struktur parti kerana buat masa sekarang, PN bukan entiti yang sah. PN hanya gabungan yang didaftarkan,” tambah Masing lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama sebuah portal berita di Sarawak pada Khamis.