Selepas 13 pemimpin UMNO Sabah mengumumkan keluar parti pada Rabu, usaha untuk mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sedang giat dijalankan.

Sumber dalaman UMNO memberitahu Astro AWANI, kempen mendesak Zahid melepaskan jawatan ini sedang giat dijalankan di peringkat akar umbi dan didalangi seorang ahli Parlimen parti itu.

Menurut sumber tersebut, tekanan diberikan kepada Zahid dengan berbagai cara antaranya menolak idea bekerjasama dengan DAP dan PKR serta tindakan pemimpin UMNO keluar parti.

"Ahli-ahli akar umbi diberitahu Zahid mahu bekerjasama dengan DAP dan PKR, dan mereka jaja cerita kononnya mahu gadai prinsip perjuangan UMNO dengan bekerjasama dengan DAP.

"Soalannya, adakah kalau sertai Bersatu (UMNO) tak bekerjasama dengan DAP? Jadi kerjasama dengan DAP hanya alasan untuk gerakkan usaha mahu jatuhkan Zahid sebab ada yang nak jadi Presiden," kata sumber tersebut.

Portal The Malaysia Insight melaporkan kempen mahu Zahid melepaskan jawatan semakin rancak selepas tersebar berita presiden UMNO itu sedang berusaha membentuk kerajaan baharu bersama PKR dan DAP.

Pemimpin akar umbi UMNO merasakan Zahid telah kehabisan idea dalam menentukan hala tuju parti itu selepas prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Menurut laporan tersebut, sekiranya Zahid enggan meletak jawatan, usul undi tidak percaya melalui mesyuarat cawangan dan bahagian akan digerakkan bagi memastikan usaha menjatuhkan ahli parlimen Bagan Datuk itu mencapai kejayaan.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dalam satu kenyataan menafikan Zahid mengadakan rundingan dengan DAP untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau meminta ahli-ahli UMNO agar memberi sedikit ruang kepada Zahid untuk menyusun semula parti seperti mandat yang diberikan perwakilan sehingga 2021.