Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI) hari ini menyuarakan kebimbangan akan kemungkinan kaum India di negara ini disisih daripada arus kemajuan ekonomi sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad diberi peluang untuk memerintah negara sekali lagi.

Presidennya, Tan Sri Dr K. Kenneth Eswaran berkata perkara itu tidak mustahil berlaku kerana mengikut rekod, ramai kaum India ketinggalan dan tersisih daripada dasar berasaskan kaum yang diamalkan oleh bekas perdana menteri itu ketika pentadbirannya selama 22 tahun.

"Saya tidak mempunyai apa-apa masalah peribadi dengan beliau, namun saya mahu tahu mengapa baru sekarang Dr Mahathir mahu ambil berat terhadap kaum India dan meminta agar diberi peluang lagi?," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Jerayawara Tranformasi India Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka jika berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.pilihan raya akan datang.

Menurutnya, satu-satunya pemimpin yang komited membela nasib masyarakat India ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata di bawah kepimpinan perdana menteri itu, banyak usaha telah dilakukan untuk menaiktarafkan kehidupan kaum India termasuk memperkenalkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB).

"MIB mampu mengubah nasib masyarakat India selain mengambil serius mengenai kesejahteraan masyarakat India, transformasi terhadap sekolah-sekolah Tamil, peluang pendidikan, menaik taraf ekonomi dan transformasi sosial.

"Justeru itu, kita berharap agar masyarakat India meneliti semula sumbangan yang telah diberikan oleh Dr Mahathir dalam mengangkat martabat kaum ketiga terbesar di negara ini terlebih dahulu.

"Jangan mudah tertipu dengan pembangkang yang hanya tahu cakap kosong sahaja tetapi tiada tindakan" katanya.

-- BERNAMA