Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar hari ini diumumkan sebagai ahli baru Parti Keadlian Rakyar (PKR).

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Menurut Azizah, Kamaruddin yang sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akan memperkukuh dan memperdayakan Pejabat Ketua Umum PKR.

"Kamaruddin juga akan berperanan sebagai Pengarah Politik dan Dasar bagi memberi input kepada Presiden dan Timbalan Presiden.

"Beliau juga akan berperanan memperkukuhkan rangkaian dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk membawa perubahan," jelas Azizah.

Manakala bagi Muhammad Taib yang dikenali sebagai Mat Taib akan berperanan memperkasa Biro Penerangan dan Komunikasi, khususnya bagi mengangkat martabat masyarakat luar bandar.

"Mat Taib boleh memainkan peranan untuk mensejahterakan rakyat khasnya di desa dan luar bandar termasuk komuniti Felda. Penyertaan Mat Taib ini diyakini dapat membantu memperkukuhkan Pakatan Rakyat (PR) untuk pilihanraya umum (PRU) akan datang," tambah Azizah.

Kata Azizah lagi, sebagai parti yang mendapat jumlah undi kedua terbesar dalam PRU yang lalu,PKR meraikan serta membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang komited dengan agenda reformasi.

Sementara itu, Mat Taib berkata, penyertaannya itu adalah untuk mengukuhkan reformasi yang ada dalam Pakatan Rakyat.

“Barisan Nasional kini bercelaru kepimpinannya. Apa mereka buat, semua serba tidak kena. Duit semakin jatuh, pelaburan semakin jatuh.

"Negara kita sebenarnya sedang mengalami krisis. Namun mereka (BN) terus meuar-uarkan kononnya mereka mendapat sokongan, terutama mereka di luar bandar. Jadi, saya fikir negara ini perlukan pembaharuan, reformasi dan PKR adalah parti yang boleh melakukan reformasi itu," kata Mat Taib.

Bagi Kamaruddin yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai setiausaha kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, beliau berasakan pengukuhan PR bermula daripada pengukuhan dalam parti itu sendiri.

"Saya akan terus aktif dalam PR seperti sebelum ini untuk melakukan perubahan dalam negara ini," jelasnya.