Tutup

'Mat Taib' kembali sertai UMNO

'Mat Taib' kembali sertai UMNO
Najib mengumumkan Muhammad kembali menyertai UMNO atas dasar perjuangan parti. - Foto Twitter @NajibRazak
KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhammad Muhd Taib kini menyertai semula parti tersebut setelah lebih kurang empat tahun bersama parti pembangkang.

Penyertaan beliau kembali kepada parti adalah atas dasar perjuangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Presiden UMNO, ketika mengumumkannya hari ini.

"Kami gembira beliau ingin meneruskan perjuangan bersama UMNO," kata Najib pada satu sidang media khas di Menara Dato' Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

Sementara itu, Muhammad berkata, keputusannya untuk menyertai semula UMNO dibuat setelah menyedari beliau tidak dapat meneruskan perjuangan agenda Melayu di dalam parti pembangkang.
"Saya lihat dalam mesyuarat tertinggi mereka (pembangkang) tiada langsung disentuh agenda Melayu," katanya yang menyertai PAS pada 2013 dan kemudiannya menyertai PKR pada 2015.

"Saya merasakan ini adalah politik tidak sihat," tambah Muhammad, yang juga pernah menjadi Menteri Besar Selangor sejak Ogos 1986 hingga April 1997 dan lebih mesra dikenali sebagai Mat Taib.
Ditanya sama ada beliau akan ditawarkan jawatan dalam UMNO baik di peringkat negeri atau nasional, beliau menjelaskan, keputusan yang dibuatnya adalah semata-mata atas dasar perjuangan.

"Saya ingin meneruskan perjuangan agenda Melayu dan sedar bahawa UMNO adalah satu-satunya parti yang menjaga kepentingan Melayu, dan juga kaum lain," katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar yang mengalu-alukan kehadiran Muhammad ke dalam parti itu.

"Dengan penyertaannya, saya percaya kami mempunyai semangat baharu untuk menawan semula Selangor dalam Pilihan Raya Umum akan datang," kata Noh.