MCA bersetuju jika Sabah ingin mengadakan pilihan raya negeri lebih awal dan yakin Barisan Nasional (BN) mampu untuk menang besar, kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Hubungan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan sangat utuh termasuk melalui Kementerian Pengangkutan di mana banyak yang sudah dibuktikan kepada rakyat dan akan terus dibuktikan selepas ini.

"Jadi kita percaya rakyat Sabah akan menyokong kepemimpinan BN. Kita juga menyokong sepenuhnya kalau ketua menteri dan kerajaan negeri buat keputusan untuk adakan pilihan raya negeri lebih awal kerana mereka sudah bekerja keras untuk menjayakan pembangunan di negeri itu," katanya.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Lebuhraya bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad Tan Sri Azmil Khalid.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan Sabah akan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal sebelum tempoh matang Pilihan Raya Umum pada 2018.

Liow menjelaskan, majoriti kerusi BN yang dimenangi di Sabah sebelum ini menunjukkan rakyat Sabah percaya kepada apa yang sudah dilaksanakan BN di negeri berkenaan.

Jelasnya, kepercayaan dan keyakinan ini disandarkan hasil pelbagai projek daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan negeri di Sabah termasuk melalui Kementerian Pengangkutan yang telah meluluskan peruntukan lebih RM2 bilion untuk pembangunan bersepadu projek pelabuhan Sabah selain projek pembangunan Rangkaian Landasan Kereta Api Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA